Riyadh: Kumpulan penggodam Anonymous menyerang laman web kerajaan Arab Saudi sebagai bantahan hukuman penyaliban terhadap remaja 17 tahun, Mohammed al-Nimr yang didakwa terbabit dalam aktiviti antikerajaan pada 2012.

Mohammed gagal dalam rayuan terakhirnya di mahkamah di Arab Saudi, awal bulan ini, seterusnya hukuman mati disalib mungkin dilaksanakan bila-bila masa.

Anonymous mendesak Mohammed dibebaskan dan mendakwa dia tidak dibenarkan melantik peguam selain diseksa untuk mendapat pengakuan.

Anonymous mengumumkan memulakan #OpNimr dengan menyerang laman web kerajaan apabila menyekat akses ke Internet.

“Kami berharap anda (pihak berkuasa) mendengar dan membebaskan remaja itu. Anda akan dirawat seperti virus dan kamilah ubatnya,” kata kenyataan itu.

Antara laman web terbabit, kementerian keadilan, kementerian perkhidmatan awam, pentadbiran umum pendidikan, pusat teknologi sektor tentera dan keselamatan serta penerbangan Saudi Airlines.

Setakat ini, semua laman web kecuali Kementerian Keadilan beroperasi semula. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2015 @ 5:51 AM