NENEK Akim menyarungkan cincin di jari Stacy.
Oleh Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


Lebih enam tahun bercinta, penyanyi Stacy, 25, dan Akim Ahmad, 24, menyimpulkan hubungan mereka dengan ikatan pertunangan, kelmarin.

Meskipun sebelum ini tidak ada sebarang berita atau pengumuman mengenai perkara itu, Stacy atau nama Islamnya, Ummu Shaikhah Stacy Anam berkata, majlis yang diadakan sederhana itu hanya membabitkan keluarga kedua-dua pihak.

Penyanyi lagu Not For Sale ini menafikan dia dan Akim sengaja merahsiakan perkara itu.

“Memandangkan ia sekadar majlis pertunangan, jadi tak perlu nak dihebohkan kepada umum. Tambahan pula majlis itu membabitkan keluarga terdekat. Jadi saya harap semua pihak faham.

“Insya-Allah jika sudah ada tarikh majlis nikah nanti baru kami maklumkan. Buat masa ini, keluarga belum tetapkan tempoh pertunangan dan majlis nikah tidak akan berlangsung dalam waktu terdekat,” katanya.

Tambah Stacy, keputusan mengikat tali pertunangan dibuat atas saranan keluarga.

“Selepas memeluk Islam, keluarga mencadangkan kami bertunang. Kata mereka tak manis jika sering ke mana-mana tanpa sebarang ikatan,” katanya.

Perkongsian majlis pertunangan Stacy dan Akim sedikit sebanyak menimbulkan persoalan berkenaan keputusannya memeluk Islam pada 24 Ogos lalu.

“Saya tak bodoh untuk ambil risiko dengan memeluk Islam semata-mata nak berkahwin. Kalau betul itu niat saya, lebih baik saya peluk Islam dalam tempoh terdekat sebelum berkahwin.

“Macam saya katakan sebelum ini, saya masuk Islam bukan sebab Akim. Saya nak belajar dan mengenal lebih dekat ajaran Islam. Andai selepas ini kami berkahwin, itu adalah jodoh,” katanya.

Dalam majlis yang berlangsung di sebuah banglo di Taman Melawati itu, Stacy menerima lima dulang hantaran berbalas tujuh.

Stacy yang anggun dalam persalinan rekaan Rafie Nasir itu terlebih dahulu menerima sebentuk cincin pertunangan daripada nenek Akim.

Turut menyaksikan detik indah itu, kedua-dua ibu bapa dan adik-beradik Stacy. Akim turut hadir pada majlis berkenaan.

“Alhamdulillah, majlis berjalan lancar. Terima kasih kepada semua pihak yang membantu menjayakan majlis ini,” katanya.

Sementara itu, Stacy kini dalam rangka mempromosikan single tebaru duet bersama kumpulan Ungu berjudul Berteman Sepi.

Malah Stacy turut diundang menjayakan persembahan siri jelajah Konsert Ungu Mozaik Tour 2015, baru-baru ini.

“Saya sangat teruja kerana Ungu nama besar di Indonesia dan Malaysia. Pengalaman merakamkan lagu ini pada April lalu di Jakarta sangat seronok dan kami tidak mengambil masa lama.

“Ini kerjasama kedua saya dengan kumpulan dari Indonesia. Dua tahun lalu saya pernah berkolaborasi dengan kumpulan SMASH menerusi lagu Hel–lo,” katanya.

Berteman Sepi dihasilkan gitaris Ungu, Endah dan turut dimuatkan dalam album terbaru mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2015 @ 5:13 AM