Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin
laila@hmetro.com.my


Pernah seorang teman bertanya, bagaimana pergerakan senaman yang perlahan boleh memberi impak kepada kesihatan kerana ia tidak meningkatkan degupan jantung sebagaimana aktiviti kardio seperti senamrobik, zumba, menari atau berjoging? Namun apabila dicuba sendiri, senaman yang lemah gemalai seperti taici sebenarnya mempunyai kesan tersendiri.

Kajian terbaru menerusi artikel kesihatan yang disiarkan laman web Health Today menunjukkan senaman ‘antik’ ini boleh membantu memperbaiki fungsi fizikal dalam kalangan individu dewasa yang mengalami masalah kesihatan kronik.

Ini terutamanya bagi pesakit kanser payudara, jantung, osteoartritis atau penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD). Kajian ke atas mereka yang mengamalkan senaman taici mendapati ada peningkatan pada tahap kekuatan, keseimbangan dan postur pesakit tanpa membuatkan masalah kesihatan kumpulan ini bertambah buruk atau menyebabkan tercungap-cungap ketika bersenam.

“Jika anda sudah berusia dan mempunyai salah satu daripada masalah kesihatan yang disebut dalam kajian berkenaan, taici boleh menjadi kaedah alternatif untuk meningkatkan kecergasan,” kata penyelidik kanan dan Pengerusi Jabatan Terapi Fizikal, Universiti Toronto, Kanada, Darlene Reid.

Katanya, taici adalah siri pergerakan yang lembut, gemalai dan perlahan disasarkan untuk meningkatkan kekuatan otot, memperbaiki keseimbangan, postur dan keanjalan tubuh.

Sebagai tambahan, taici juga memberi kesan kepada kesihatan mental.

“Banyak jenis taici yang ada kaitan dengan komponen spiritual yang kuat, jadi ia akan memberi kesan berbeza pada pengamalnya berbanding jenis senaman lain,” katanya.

Kajian mengenai manfaat taici disiarkan dalam Jurnal Perubatan Sukan British keluaran September 2015.

Menurut Reid, antara kelebihan taici adalah boleh dilakukan dalam pelbagai persekitaran, bersendirian atau berkumpulan serta tidak memerlukan sebarang peralatan. Pergerakannya yang lembut dan perlahan juga membuatkan ia menjadi pilihan ramai orang khususnya golongan berusia yang tidak lagi mahukan senaman pantas.

“Pergerakan taici perlahan dan ada ritma tertentu yang dihasilkan ribuan tahun lalu. Ia juga merangkumi pergerakan yang memerlukan kekuatan kumpulan otot berlainan,” sambungnya.

Untuk laporan terkini, penyelidik menggunakan data daripada 33 kajian yang sudah diterbitkan. Kajian berkenaan turut membabitkan lebih 1,500 orang berusia antara pertengahan 50-an hingga awal 70-an.

Tempoh purata program latihan taici itu 12 minggu dan kebanyakan sesi berjalan selama satu jam. Kelas latihan itu pula diadakan dua atau tiga kali seminggu, kata penyelidik.

Selepas 12 minggu, didapati peserta program menunjukkan peningkatan memberangsangkan dalam ujian berjalan enam minit, kekuatan otot (diukur dengan membengkokkan dan meregangkan lutut), tempoh yang diambil untuk bangun dan bergerak serta kualiti kehidupan.

Taici juga dikaitkan dengan perubahan positif pada keupayaan fizikal dan kekuatan otot dalam kebanyakan pesakit yang mengalami empat masalah kesihatan kronik iaitu kanser payudara, osteoartritis, masalah jantung dan COPD.

Malah senaman ini juga sering dikaitkan dengan meredakan kesakitan dan ketegangan otot pada pesakit osteoartritis, mengurangkan sesak nafas pada pesakit COPD dan memendekkan masa bangun daripada duduk dalam kalangan pesakit oesteoartritis, sambung penyelidik lagi.

Menurut Samantha Heller, pakar nutrisi klinikal dan fisiologi senaman di Pusat Perubatan NYU Langone di New York City turut meneliti kajian berkenaan.

Beliau berkata, apa yang menarik mengenai senaman taici ialah ia terdiri daripada siri pergerakan yang lembut dan gemalai, sesuai untuk ramai pesakit.

Ini kerana semua pesakit perlu bersenam, termasuklah pesakit yang baru menjalani pembedahan jantung dan ini bentuk senaman yang sesuai untuk mereka.

Selain itu, taici juga bukanlah senaman yang mahal dan banyak pusat penjagaan warga emas menawarkan kelas senaman ini secara percuma, katanya.

“Kalau tidak dapat menyertai kumpulan taici di mana-mana, boleh lakukannya di rumah. Sekarang ada banyak video dan DVD yang mengajar pergerakan taici. Bagaimanapun, saya sarankan supaya pesakit mendapatkan bantuan jurulatih bertauliah,” sambung Heller.

Pengarah di Pusat Penyelidikan Pencegahan Universiti Yale dan Presiden Kolej Perubatan Gaya Hidup Amerika, Dr David Katz turut meneliti kajian berkenaan.

Beliau menjelaskan, taici boleh dilakukan oleh semua orang termasuklah golongan yang beranggapan mereka tidak mampu bersenam kerana keupayaan fizikal yang terhad.

Bagaimanapun, ini bukan menolak senaman lain kerana semua bentuk senaman boleh memberikan manfaat yang sama.

“Buat masa sekarang, sudah ada bukti menunjukkan taici bermanfaat untuk mereka yang ada masalah pergerakan fizikal. Bukti ini sudah cukup untuk doktor memasukkan ia dalam saranan dan pesanan kepada pesakit supaya selalu bersenam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2015 @ 5:13 AM