LIM tegas pihaknya kini berusaha ke arah jadi kedai dalam talian terbesar.
Oleh Wan Nur Ameera Meor Rozman
bisnes@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Senheng Electric Sdn Bhd (Senheng), rangkaian kedai elektronik terkemuka akan membuka sebuah cawangan lebih besar iaitu Grand Senheng yang berkeluasan 15,000 kaki persegi bertempat di Setia Alam pada suku keempat tahun ini dalam usaha melebarkan sayap perniagaan.

Pengarah Urusannya, Lim Kim Heng berkata, meskipun pasaran berdepan detik sukar dan pengguna semakin berhati-hati dalam membelanjakan wang mereka, namun syarikat percaya ia peluang terbaik untuk melangkah ke hadapan.

“Sebagai satu daripada kedai terkemuka di negara ini dengan penguasaan pasaran 15 peratus, kami akan sentiasa mencari idea dan membuat pembaharuan untuk memantap serta mengukuhkan lagi nama kumpulan dalam industri ini.

“Oleh itu, kami sedang memperhebatkan lagi perancangan syarikat tahun depan seperti membuka beberapa lagi cawangan Grand Senheng di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Pembukaan ini dijangka bermula suku kedua 2016,” katanya.

Beliau berkata, selain itu, pihaknya akan menambah dua gudang di Johor Bahru dan Melaka untuk mempertingkatkan kualiti serta mempercepatkan proses penghantaran barangan pelanggan.

Katanya, kewujudan kedai dalam talian semakin meningkat dan mendapat perhatian menyebabkan syarikat berusaha ke arah untuk menjadi kedai dalam talian terbesar di Malaysia kerana ia mampu menarik lebih ramai pengguna terutamanya remaja dengan jaminan penghantaran hanya dalam tempoh 48 jam sahaja.

Menurutnya, dari 2014 hingga 2015, pihaknya memperuntukkan RM55 juta bagi pelaburan untuk penyelidikan dan pembangunan pusat beli-belah online serta menaik taraf perkhidmatan agar lebih baik daripada pesaingnya.

“Kami juga melabur lebih RM1 juta untuk memperbaharui cara pelaksanaan tugas yang membabitkan penggunaan kertas seperti resit, borang permohonan keahlian dan lain-lain kepada teknologi moden menggunakan telefon pintar, tablet, e-mel serta portal,” katanya.

Senheng yang meraih dua anugerah di Putra Brand Awards baru-baru ini optimis mampu mencapai peningkatan sasaran jualan lima peratus berbanding tahun lalu dan menyasarkan membuka 10 cawangan baru seluruh negara tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2015 @ 5:05 AM