PENGAWAL Keselamatan SK Puteri, Seremban meletakkan notis pemberitahuan penutupan sekolah berikutan bacaan IPU pada tahap tidak sihat. FOTO Hazreen Mohamad
Oleh Siti A'isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


Putrajaya: Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) boleh mengambil keputusan untuk menutup sekolah sekiranya jarak penglihatan di bawah 500 meter biarpun bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) belum mencapai 200.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Kementerian Pendidikan memberikan kuasa kepada PPD untuk membuat keputusan berkenaan dan ia berkuatkuasa serta merta.

"Keputusan untuk menutup sekolah ekoran jerebu tidak hanya bergantung kepada bacaan IPU semata-mata tetapi, jarak penglihatan turut diambil kira.

"Ini dibuat kerana kita memgambil berat mengenai faktor kesihatan dan penglihatan mereka yang terbabit," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pada masa sama, Mahzdir berkata, penutupan sekolah ekoran jerebu tidak boleh diumumkan untuk beberapa hari.

"Ada ibu bapa bertanya kenapa tidak diumumkan terus sehinga empat hari misalnya. Kami tidak boleh berbuat demikian kerana boleh jadi bacaan IPU akan menurun pada malam hari dan bertambah baik.

"Justeru, kita akan membuat pengumuman perkembangan terkini pada setiap hari menerusi media kira-kira 2 petang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2015 @ 5:52 PM