SEORANG petugas memerhatikan skrin kamera keselamatan yang dipasang di Makkah dan Mina bagi mengawasi pergerakan jemaah haji.
AFP

Mina: Mufti Arab Saudi, Sheikh Abdul Aziz al-Sheikh berkata, kejadian rempuhan di Mina menyebabkan lebih 700 jemaah haji maut adalah di luar kawalan manusia.

Kejadian rempuhan pada Khamis lalu menyebabkan lebih 800 lagi cedera itu dianggap antara tragedi terburuk ketika musim haji.

Ramai pihak terutama jemaah Iran mengkritik langkah keselamatan dan pengurusan jemaah oleh pihak berkuasa Arab Saudi.

Bagaimanapun, Sheikh Abdul Aziz memberitahu Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Nayef bahawa beliau tidak dipertanggungjawabkan dalam tragedi berkenaan.

“Untuk perkara yang di luar kawalan manusia, anda tidak boleh dipersalahkan.

“Nasib dan takdir tidak boleh dielakkan,” katanya yang dipetik agensi berita rasmi Saudi, SPA.

Sheikh Abdul Aziz berkata demikian ketika pertemuan dengan putera itu yang juga Menteri Dalam Negeri kelmarin.

Mohammed mempengerusikan jawatankuasa haji dan mengarahkan siasatan menyeluruh tragedi rempuhan ketika ibadat melontar di jamrah.

Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz mengarahkan operasi perjalanan haji dikaji semula.

Sekurang-kurangnya 131 jemaah Iran dilaporkan maut dalam tragedi rempuhan itu.

Mangsa yang maut termasuk dari India, Pakistan, Turki, Mesir dan Indonesia.

Rempuhan itu tragedi kedua yang berlaku pada musim haji tahun ini selepas kejadian kren tumbang di Masjidilharam pada 11 September lalu yang meragut nyawa lebih 100 jemaah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2015 @ 5:03 AM