LANCAR tetapi berhati-hati menyusuri setiap jeram.
PENYELAMAT sentiasa memantau keselamatan.
AKSI pendayung dalam bot arus deras tidak kurang hebatnya.
Oleh Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmero.com.my


Keberanian bermain arus, bukan sebarangan orang dapat melakukannya. Jeram demi jeram serta bunyi deburan air menghempas batu sudah dapat membayangkan betapa gerunnya cabaran Jambori Kayak Sehati Sejiwa di Kem Nurnikman Sungkai Perak baru-baru ini.

Tujuan penganjuran jambori berkenaan oleh Lembaga Pendidikan Kanu Malaysia ialah menyemarakkan semangat patriotik dengan cara berbeza membabitkan lebih 70 pesertanya.

Menurut Pengarah Program yang juga Pengerusi Lembaga Pendidikan Kanu Malaysia Mazuki Mohd Yasim, program ini adalah acara tahunan lembaga dan tahun kedua penganjuran jambori berkenaan.

“Ini kali kedua kami mengadakan jambori seperti ini yang menghimpunkan penggiat kanu arus deras di seluruh negara. Meskipun tiada tajaan dikeluarkan dan setiap peserta terpaksa menggunakan bajet sendiri, mereka sanggup datang serta memeriahkan program ini.

“Kami berharap terus dapat menganjurkan program berimpak besar seperti ini kerana dilihat secara langsung memberi pendedahan kepada penggiat baru mengenai aspek sukan kanu lebih selamat.

“Selain itu simbolik jambori ini adalah istilah ‘memerdekakan diri’ daripada ketakutan kepada aliran arus laju dan jeram seiring program ini diadakan sempena bulan Merdeka serta kini Hari Malaysia,” katanya.

Mengakui sukar mengumpulkan penggiat aktif dalam sukan ekstrem air terbabit kerana jumlahnya tidak besar berbanding sukan lain seperti basikal mahupun larian.

“Acara ini akan diteruskan untuk tahun akan datang kerana pihak kami turut bekerjasama dengan Persatuan Kanu Malaysia dan bakal berkolaborasi dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk diadakan pada skala lebih besar.

“Langkah awal program tahun depan, aktiviti ini dijangka bakal dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan negeri Perak 2016,” katanya.

Bagi kru program berkenaan, Ainnurnizam Ashan Abdul Shukor, cabaran buat peserta mahupun kru keselamatan apabila mereka perlu bergelut dengan arus lebih deras disebabkan hujan lebat malam sebelum acara berlangsung.

“Lebih 70 peserta membabitkan 35 bot arus deras serta 30 kayak perlu berhadapan pengalaman terbalik serta berlanggar batu kerana gred kesukaran berubah atas faktor hujan lebat semalamnya.

“Selain peserta, penyelamat bertugas terpaksa bekerja keras untuk menyelamatkan peserta terbalik mahupun kayak hanyut. Namun, itu membuatkan hubungan antara peserta bertambah erat kerana saling bekerjasama sepanjang jambori berlangsung,” katanya.

Dalam pada itu peserta turut menyertai aktiviti sampingan disediakan termasuk klinik boarding serta playboard, tarik tali kayak serta perkongsian pengalaman bersama pendayung kayak solo mengelilingi Malaysia, Nadzeri Mustafa.

Buat Nadzeri, diberi penghormatan berkongsi pengalamannya sebagai penggiat sukan dayung jarak jauh disifatkan satu usaha baik.

“Pengalaman melakukan dayungan kayak solo sebanyak tiga kali tahun lalu saya kongsikan. Dayungan pertama bertemakan keamanan sejagat, 600 kilometer bermula dari Pantai Remis ke Kuala Perlis selama 18 hari.

“Kedua dan ketiga ekspedisi lebih jauh membabitkan perjalanan lebih 60 hari. Ekspedisi kedua saya sempena Sukma Perlis pada Mei 2014 membabitkan dayungan dari Perlis ke Danga Bay dan kembali ke Perlis.

“Terakhir sekali ialah dari Kelantan ke Langkawi pada September dan berakhir pada November. Saya cuba buktikan pada peserta ia tidak mustahil kerana pengalaman saya memulakan ekspedisi solo ketika berumur 50 tahun.

“Saya mahu golongan muda lebih kental menyahut cabaran dan lebih berani tetapi masih mementingkan ilmu untuk kelangsungan mereka dalam aktiviti ekstrem seperti ini,” katanya.

Bagi peserta jombori berkenaan, Marina Muzaffa, 14 , pengalaman menyertai jambori buat kali pertama satu detik mengujakan kerana terlepas peluang mengikuti program sama tahun lalu.

“Kali ini saya gembira dapat menyertai ibu bapa berkayak sama dalam jambori ini.

“Biarpun berdebar kerana masih baru dalam kayak arus deras, kesempatan dilatih oleh bapa serta jurulatih Persatuan Kanu Kuala Lumpur, Mohamad Faizul Abdul Hamid, membuatkan saya yakin dapat melepasi setiap jeram.

“Tidak dinafikan ada babak cemas apabila muka terhentak pada batu. Mujur pendarahan tidak serius serta cuma mengalami bengkak.

“Saya tidak serik dan mengambil pengalaman ini sebagai peringatan untuk lebih waspada selain terus giat memperbaiki skil dayung,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kanu Malaysia, Laksamana Pertama Datuk Subramanian Raman berpendapat sambutan terbabit wajar diteruskan dalam menggalakkan perkembangan sukan kanu selain menyatukan masyarakat pelbagai latar belakang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2015 @ 5:02 AM