TAMPAK menarik dan menawan.
BENTUK fastback bergaya mewah.
ENJIN menyalurkan 624 hp.
TEMPAT duduk belakang yang selesa.
KONSUL tengah bahagian belakang.
METER kelajuan.
RUANG kabin penuh dengan warna merah.
Oleh Erywan Norshal
erywan@hmetro.com.my


Lepas lebih 70 tahun, nama Wraith digunakan semula dalam jelmaan terbaru kereta paling mewah di dunia iaitu Rolls-Royce.

Nama itu bermaksud menyentuh kuasa yang hampir tidak dapat dilihat, unik, lincah dan kuat menjadi pegangan untuk memulihkan populariti jenama dari Britain itu dalam menghasilkan model baru, Rolls-Royce Wraith.

Rolls-Royce Wraith menjadi ikon jentera dunia selepas ia diperkenalkan pada 2013, yang masih menerapkan rekaan asal ‘fastback’ seperti model era 1930-an.

Kenderaan berharga jutaan ringgit itu menjadi ‘tetamu’ istimewa dalam ruangan PANDU UJI minggu ini, selain kali pertama dalam karier penulis memandu kereta jenama Rolls-Royce.

Perasaan gementar dan teruja untuk memandu kereta ini sememangnya ada, maklumlah tiga generasi menulis pun belum tentu boleh melunas hutang jika berlaku perkara tidak diingini pada jentera berkenaan.

Pada sesi pandu Rolls-Royce Wraith, hanya tiga media tempatan berpeluang menyertainya, bermula dari Petaling Jaya, Selangor ke Port Dickson, Negeri Sembilan dan berpatah balik sebelum singgah di Putrajaya.

Bagaimanapun, penulis mahu menjadi orang terakhir memandunya kerana ingin menikmati sepuas-puasnya gaya kemewahan Rolls-Royce Wraith.

Bagi memasuki bahagian dalaman, pintunya dibuka secara songsang dan rasanya berat sedikit berbanding kereta konvensional yang lain, namun begitulah sebenarnya keunikan Rolls-Royce.

Ruang kabinnya diselubungi warna kemerahan yang memenuhi bahagian berkenaan termasuk panel pintu, tempat duduk dan alas kaki. Ternyata rekaan dan warna itu secocok untuk menyalurkan imej mewah. Ia juga disaluti kemasan material kayu Canadel dengan kelihatan uratnya yang jelas dan cantik sekali gus mengagumi kehalusan seni binanya.

Seperti kereta dua pintu biasa, sudah tentu kerusi hadapan perlu dianjak ke depan untuk memudahkan penumpang memasuki ruang belakang.

Ruang tempat duduk belakang hanya mempunyai dua bahagian yang diasingkan konsul tengah dengan perehat tangan serta dilengkapi ruang menyimpan barang. Jentera sepanjang 5.269 meter ini menyediakan ruang luas bagi keselesaan penumpang belakang dan hadapan secara maksimum.

Hampir sejam penulis berada di tempat duduk belakang untuk menikmati keselesaannya yang membuatkan rasa tenang. Bagi penulis, tempat duduk itu rasanya seolah-olah tenggelam tetapi ia sebenarnya memberi kestabilan optimum untuk pergerakan badan sekiranya melalui laluan berselekoh.

Kedapan bunyi yang ditawarkan sangat mantap biarpun ketika itu rakan media lain memandu pada kelajuan antara 140 hingga 160 kilometer sejam (km/j).

Giliran penulis untuk memandu jentera ini tidaklah jauh, cuma kira-kira 60 kilometer dari Putrajaya ke Petaling Jaya. Namun ia sebenarnya memadai untuk penulis menilai jentera orang kaya ini atau sinonimnya kenderaan untuk membawa golongan Diraja seperti Yang di-Pertuan Agong atau sultan.

Apa yang menarik, pintu bukaan secara songsang itu sebenarnya boleh ditutup sendiri dengan menekan butang berhampiran papan pemuka bahagian kiri pemandu. Sebelum menutup pintu itu, penulis mahu kongsikan sedikit keistimewaan jentera ini apabila di bahagian dapranya ada sebatang payung yang tersembunyi.

Payung rekaan khas yang terlindung daripada pandangan itu mempunyai logo Rolls-Royce dan dimaklumkan harganya mencecah ribuan ringgit.

Bagi kenderaan mewah dengan beban lebih dua tan ini, penulis rasakan ia tidaklah terlalu berat selepas dijanakan enjin V12 bersesaran 6.6 liter turbo berkembar yang menyalurkan 624 kuasa kuda. Tekan pedal minyak secara minimum, ia menyalurkan prestasi yang diperlukan.

Jika ditekan secara agresif, ia boleh memecut antara 0 hingga 100 km/j dengan hanya 4.6 saat. Itulah kehebatan enjin V12 dan mengikut spesifikasinya, jentera yang diimport dari Goodwood, England itu larat memecut sehingga 250 km/j.

Bagaimanapun penulis tidaklah memandu secara agresif dan meter penunjuk simpanan kuasa hanya digunakan antara 20 hingga 30 peratus. Kuasa yang dibekalkan dengan dibantu transmisi automatik lapan kelajuan memberikan pemanduan lancar dan memenuhi kehendak penulis ketika diperlukan.

Bentuknya yang lebar membuatkan pemanduan rasa sedikit kekok dengan terpaksa melihat lebih kerap cermin sisi kiri dan kanan supaya tidak memasuki laluan kenderaan lain.

Pengendaliannya sangat mudah, lebih-lebih lagi apabila disokong teknologi Transmisi Bantuan Satelit dengan menggunakan data GPS untuk melihat laluan hadapan yang dihadapi pemandu. Teknologi itu boleh mengagak tindakan pemandu seterusnya berdasarkan lokasi, gaya pemanduan semasa sebelum memilih gear paling sesuai untuk laluan di hadapan sama selekoh, simpang atau bulatan.

Suspensinya juga ditala untuk meminimumkan olengan tanpa menjejaskan kelajuan ketika mengambil selekoh serta sterengnya rasa lebih berat pada kelajuan tinggi.

Sepanjang pemanduan itu, penulis boleh katakan jentera itu menggabungkan watak lengkap dengan mengutamakan dua aspek penting iaitu mewah dengan penuh berprestasi.

INFO

ROLLS-ROYCE WRAITH|

- Enjin: 6.6 liter turbo, V12 dengan 48 injap

- Kuasa maksimum: 624 hp pada 5,600 RPM

- Tork maksimum: 800 Nm antara 1,500 hingga 5,500 RPM

- Transmisi: Lapan kelajuan automatik

- Berat tanpa muatan: 2,360 kilogram

- Pecutan tertinggi: 250 km/j

- Pecutan dari 0 hingga 100 km/j: 4.6 saat.

- Penggunaan bahan api secara gabungan: 14 liter setiap 100 kilometer.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2015 @ 5:01 AM