MERCEDES-BENZ S Class Cabriolet.
BENTLEY Bentayga menjadi SUV paling berkuasa.
VOLKSWAGEN Tiguan menggunakan platform MQB.
HYUNDAI memperkenalkan jentera konsep GT.
KEMUNCULAN global pertama konsep Nissan Gripz.
KONSEP Bugatti adalah ilham video Play Station
Susunan Erywan Norshal
erywan@hmetro.com.my

Sudah dijangka Pameran Motor Frankfurt 2015 yang membuka tirainya minggu lalu menjadi medan penting dalam industri automotif setelah mempamerkan model terbaru serta mempertontonkan kenderaan konsep buat masa akan datang.

Acara tahunan ke-66 itu juga menjadi acara skala besar dalam kalendar automotif Eropah termasuk buatan tuan rumah Jerman.

Selain itu, beberapa jenama lain terutama dari Korea Selatan dan Jepun menjadikan pameran berkenaan sebagai landasan untuk mengembangkan lagi pasaran mereka di Eropah.

Bagaimanapun, sisipan Vroom Harian Metro hanya memilih beberapa model terbaru dan jentera konsep yang menarik untuk tatapan ruangan minggu ini.

Mercedes-Benz S Class Cabriolet

Pengeluar automotif premium Jerman memperkenalkan model terbaru Mercedes-Benz S Class Cabriolet sekali gus melengkap lagi keluarga S Class yang ketika ini mempunyai enam model.

Kehadirannya membuka ruang baru buat Mercedes-Benz selepas 44 tahun tidak mengeluarkan varian cabriolet bagi model Mercedes-Benz S Class. Reka bentuknya yang eksklusif turut merangkumi aspek mewah moden dengan cara tersendiri dan istimewa.

Infiniti Q30

Kenderaan kompak premium yang kali pertama diperlihatkan kepada umum pada pameran berkenaan mewakili model pertama Infiniti dalam segmen berkenaan. Infiniti Q30 memainkan peranan penting dalam membantu syarikat itu merealisasikan rancangan bagi pertumbuhan secara global.

Ia direka dengan bentuk watak berani, selain ditawarkan beberapa varian enjin untuk pasaran global membabitkan rangkaian kuasa petrol 1.6 liter serta diesel antara 1.5 dan 2.2 liter.

Malah, ia menggunakan kotak gear manual enam kelajuan serta transmisi automatik klac berkembar tujuh kelajuan.

Bentley Bentayga

Kenderaan utiliti sukan (SUV), Bentley Bentayga menggabungkan tiga watak berbeza iaitu mewah, keupayaan pengendalian ‘off-road’ serta boleh dipandu untuk kegunaan seharian.

Kenderaan yang direka dan dibina di Crewe, Britain itu menggunakan enjin W12 sekali gus menjadi SUV mewah paling laju serta berkuasa di dunia.

Enjin berkembar pengecas turbo 6.0 liter menyalurkan 600 kuasa kuda (hp) dengan tork setinggi 900 Nm. Ia boleh memecut hingga 301 kilometer sejam (km/j) dan hanya mengambil 4.1 saat untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j.

Volkswagen Tiguan

Selepas kejayaan 2.6 juta unit terjual di seluruh dunia, Volkswagen Tiguan kembali dengan generasi kedua. Ia model pertama SUV jenama Volkswagen menggunakan platform ‘modular transverse matrix’ (MQB).

Volkswagen Tiguan ditawarkan beberapa varian membabitkan R-Line selain diperkenalkan dengan lapan enjin yang menyalurkan kuasa antara 125 sehingga 240 PS.

Selain itu, ia memperkenalkan model konsep GTE iaitu ‘plug-in’ hibrid yang boleh dipandu melebihi 1,000 kilometer.

Renault Megane

Renault memperkenalkan model Megane terbaru selepas menjual lebih 6.5 juta unit di seluruh dunia dalam tempoh 20 tahun.

Model generasi keempat itu mungkin jadi pesaing bagi Ford Focus dan Volkswagen Golf.

Serentak itu juga, Renault memperkenalkan model tertinggi Megane menerusi varian GT apabila tampil lebih sporty.

Konsep Hyundai N 2025 Vision Gran Turismo

Ini satu lagi model konsep GT yang menjadi projek baru Hyundai Motor untuk mainan video Play Station dalam Gran Turismo.

Ia dibina untuk menambah pengalaman dalam sukan permotoran Hyundai Motor dan keupayaan teknologi bagi kenderaan berprestasi.

Selain itu, kehadiran kereta konsep itu menunjukkan arah tuju teknologi dan reka bentuk kereta lumba masa depan.

Konsep Volkswagen Golf GTE Sport

Jentera ‘plug-in’ hibrid ini menyalurkan 400 PS untuk merintis era baru kereta sport masa depan.

Sistem berkenaan digabungkan teknologi terbaru dengan pacuan semua roda dan berat yang minimum serta hadir reka bentuk rendah.

Rangkaian kuasa dibangunkan menerusi penyelidikan dalam sukan permotoran iaitu menggunakan enjin 1.6 liter TSI dalam kereta Rali Dunia.

Jentera itu boleh dipandu sehingga 280 km/j dan hanya memerlukan 4.3 saat bagi pecutan 0-100 km/j.

Konsep Nissan Gripz

Jentera ini diilhamkan dalam segmen kenderaan crossover sport yang disasarkan kepada generasi muda. Nissan Gripz dibina untuk mereka yang mempunyai dua personaliti berbeza iaitu digunakan untuk pemanduan seharian serta boleh memenuhi aktiviti lasak pada hujung minggu.

Ia tersenarai dengan siri sistem hibrid teknologi EV berasaskan ‘Drive tulen e-Power’ yang ada pada Nissan Leaf.

Konsep Mercedes-Benz IAA

Nama IAA pada model konsep itu bermaksud ‘Intelligent Aerodynamic Automobile’ yang mana aerodinamik menjadikan unsur penting pembinaan kereta berkenaan. Rintangan anginnya boleh dikatakan paling rendah dengan 0.19 pekali seretan.

Bagi menghasilkan tahap prestasi maksimum, jentera itu digabungkan enjin bersama ‘plug-in’ hibrid yang menyalurkan 275 hp.

Konsep Bugatti Vision Gran Turismo

Jentera konsep itu diperkenalkan sempena kehadiran mainan video Play Station Gran Turismo 6 tidak lama lagi. Bagaimanapun, kehadiran model itu mungkin menjadi hala tuju kereta super pada masa akan datang dalam menghasilkan jentera terbaru.

Konsep Porsche Mission E

Ia menjadi model konsep pertama Porsche bagi kenderaan empat tempat duduk yang menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya. Kereta sport ini menggunakan sistem pemanduan 800 volt yang menyalurkan 600 hp.

Jentera konsep itu dijanakan pacuan semua roda yang berupaya memecut 0-100 km/j dalam 3.5 saat dan hanya memerlukan 15 minit bagi mengecas hingga 80 peratus tenaga elektrik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2015 @ 5:01 AM