IMBASAN CT dapat bantu kesan peringkat kanser dan merancang rawatan sesuai.
IMBASAN CT dapat bantu kesan peringkat kanser dan merancang rawatan sesuai.
CHANG (kanan), Anna dan Ivan (kiri) ketika pelancaran Adcetris (brentuximab vedotin) Rawatan Limfoma Hodgkin dan Limfoma Sel Besar Analpastik Sistemik yang berulang dan bersifat refraktori anjuran Takeda Malaysia Sdn Bhd di Bangsar baru-baru ini.
Oleh Hidayatul Akmal Ahmad
hidayatulakmal@hmetro.com.my


Berat badan menurun (sekurang-kurangnya 10 peratus) dan hilang selera makan, berpeluh pada waktu malam, gatal seluruh badan tanpa sebab, demam serta menggigil antara simptom yang perlu dititikberatkan kerana ia mungkin petanda awal anda menghidap penyakit limfoma Hodgkin (HL).

Limfoma Hodgkin atau penyakit Hodgkin, adalah sejenis kanser yang berasal daripada sel darah putih yang dikenali sebagai limfosit. Ia dinamakan sempena Thomas Hodgkin, yang mula menjelaskan keadaan tidak normal sistem limfa pada 1832.

Statistik terbaru yang dilaporkan di Malaysia mendapati kira-kira 67 orang disahkan menghidap HL dan 10 orang disahkan menghidap Limfoma Sel Besar Analplastik Sistematik (Systemic Analplastic Large Cell Lymphoma sALCL) pada 2007.

Menurut Ketua Perkhidmatan Hematologi Kebangsaan, Datuk Dr Chang Kian Meng, HL adalah sejenis penyakit berbahaya yang jarang berlaku tetapi lazimnya dialami oleh remaja dan orang muda.

“Walaupun ramai pesakit menerima rawatan dan sembuh, jangka hayat adalah sangat rendah bagi mereka yang bertindak balas kepada terapi semasa.

“Ini boleh mendatangkan kesan emosi yang besar bukan saja kepada penghidap kanser tetapi juga keluarga dan rakan mereka,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Adcetris (brentuximab vedotin) Rawatan Limfoma Hodgkin dan Limfoma Sel Besar Analpastik Sistemik yang berulang dan bersifat refraktori anjuran Takeda Malaysia Sdn Bhd di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Chang berkata, lebih 60,000 kes HL dikesan setiap tahun di mana 60 peratus daripadanya adalah golongan lelaki manakala 40 peratus pula adalah wanita.

“Ini menunjukkan satu dalam lima atau 20 peratus rakyat Malaysia menghidap limfoma sama ada mereka sedar atau tidak. Meskipun belum ada rawatan untuk penyembuhan, ia adalah kanser yang boleh dirawat disusuli rawatan susulan.

“Ia boleh didiagnos melalui biopsi, pengimejan seperti imbasan CT dan PET membantu pakar haematologi mengesan peringkat kanser dan merancang rawatan sesuai,” katanya.

Adcetris (brentuximab vedotin) ialah sejenis terapi konjugat ubat antibodi baru yang didapati menyasarkan, mengikat dan memusnahkan sel kanser berbahaya (CD30+) secara khusus, kini sedia ada untuk merawat HL yang berulang kembali atau bersifat refraktori dan sALCL yang berulang kembali atau bersifat refraktori di Malaysia.

Kelulusan di Malaysia oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah Kementerian Kesihatan adalah berasaskan data daripada ujian penting fasa 11 dalam kalangan penghidap HL dan sALCL.

Dalam pada itu, Pakar Perunding Hematologi Bercelona, Sepanyol, Dr Anna Sureda berkata, Adcetris tergolong dalam ubat khusus dikenali sebagai konjugat ubat antibodi (ADC) dan berfungsi dengan menyasarkan secara khusus protein CD30 yang ditemui pada permukaan sel kanser yang berbahaya tanpa merosakkan sel sihat di sekeliling tumor.

“Adcetris didapati menyasarkan secara khusus, mengikat serta memusnahkan hanya kanser sel yang bahaya,” katanya.

Dalam ujian berkenaan median kelangsungan hidup secara keseluruhan yang melebihi tiga tahun (40.5 bulan) diperhatikan dalam kalangan pesakit dengan HL yang berulang kembali atau bersifat refraktori yang menerima Adcetris.

Di samping itu, median kelangsungan hidup secara keseluruhan yang melebihi empat tahun (55.1 bulan) diperhatikan dalam kalangan pesakit dengan sALCL yang berulang kembali atau bersifat refraktori.

Bagi HL, 70 peratus pesakit mengalami penyakit yang berulang kembali dalam tempoh 12 bulan selepas pemindahan sel tunjang autologus (ASCT) dan mempunyai medium kelangsungan hidup selepas penularan (post progression survival,PPS) yang kurang daripada setahun.

Dalam sALCL, yang berulang kembali atau bersifat refraktori, median kelangsungan hidup secara keseluruhan hanyalah 5.5 bulan.

Turut hadir, Pengurus Besar Malaysia, Singapura dan Vietnam, Takeda Pharmaceuticals, Ivan Poljak.

Apa itu limfoma?

Limfoma ialah kanser pada sistem limfa. Sistem limfa membentuk sebahagian daripada sistem pertahanan badan. Ia membabitkan organ, duktus dan nodus limfa. Ia membawa cecair jernih dipanggil limfa. Komposisi limfa lebih kurang sama dengan plasma (cecair kuning pucat diperoleh daripada darah) tetapi kurang kandungan protein dan beberapa sel.

Sistem limfa ada di semua bahagian badan kecuali sistem saraf pusat (di tulang belakang). Bahagian utama sistem limfa ialah sumsum tulang, limpa, kelenjar timus dan tonsil. Ia juga ada pada semua organ, termasuk jantung, paru-paru, hati, usus dan kulit.

Sistem limfa boleh diumpamakan sebagai jaringan perparitan yang membantu mengekalkan keseimbangan paras cecair badan dan melindungi badan daripada jangkitan.

Sistem limfa membabitkan jaringan salur limfa yang membawa cecair jernih dipanggil limfa - mengandungi molekul protein, garam, glukos, urea dan bahan lain ke seluruh badan.

Jenis Limfoma

- Limfoma Hodgkin (HL). Jenis ini biasa terdapat pada kanak-kanak lebih tua atau remaja. Ia jarang berlaku pada kanak-kanak kurang lima tahun. Limfoma jenis ini didefinisikan dengan kehadiran sel barah yang spesifik, yang dipanggil sel Reed-Sternberg, di dalam noda limfa atau organ yang terbabit.

- Limfoma bukan Hodgkin (NHL). Nama ini di gunakan untuk semua bentuk limfoma lain. Insiden NHL meningkat daripada umur kanak-kanak hingga remaja. Dalam NHL terdapat pertumbuhan sel limfosit yang spesifik (iaitu sejenis sel darah putih yang terdapat di kelenjar limfa). Pertumbuhan sel limfosit dahsyat ini juga dilihat dalam barah darah leukemia ( ALL), yang kadang-kadang menyebabkan kesukaran membezakan antara limfoma dan leukemia dalam kalangan kanak-kanak.

Secara umumnya, bagi pesakit yang menghidap limfoma, tiada penglibatan sumsum tulang atau penglibatan minima, sementara bagi pesakit leukemia penglibatan sumsum tulang adalah secara meluas.

- Walaupun ada lebih 30 jenis limfoma NHL, secara umumnya ia dibahagi kepada tiga kumpulan utama mengikut kadar pertumbuhan tumor sama ada perlahan, sederhana ke cepat dan sangat cepat.

Gejala limfoma

- Sesetengah jenis limfoma sukar dikesan kerana kadangkala ia tidak menunjukkan gejala dan jika ada, ia sering disalah anggap sebagai penyakit biasa seperti selesema.

- Biasanya kes hanya dikesan secara tidak sengaja apabila seseorang menjalani pemeriksaan kesihatan atau ujian untuk penyakit lain.

- Nodus limfa pada leher, ketiak dan celah kangkang bengkak tetapi tidak sakit

- Berpeluh banyak pada waktu malam

- Demam berulang kali

- Berat badan menurun (turun 10 peratus dalam tempoh lebih enam bulan) dan hilang selera makan

- Batuk yang tidak berhenti dan sesak nafas

- Gatal seluruh badan tanpa sebab nyata

- Tidak kira apa jenis kanser kebanyakan pesakit sukar menerima hakikat mereka diserang penyakit berbahaya ini. Kebanyakan pakar berdepan cabaran besar untuk memaham dan meyakinkan pesakit serta ahli keluarga mereka bahawa limfoma adalah kanser yang boleh merebak.

- Justeru, ia perlu dirawat secepat mungkin supaya rawatan memberi hasil lebih baik. Pada masa sama sokongan keluarga dan rakan penting untuk membantu pesakit menjalani pemeriksaan serta rawatan.

Rawatan

Kanser jenis itu boleh dirawat dengan terapi radiasi, kemoterapi atau pemindahan sel tunjang hematopoietik (tulang sum sum) dengan pilihan rawatan bergantung kepada umur dan jantina pesakit selain peringkat serta histologi penyakit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2015 @ 5:00 AM