MARTIAL sudah jaring empat gol dalam empat perlawanan.
AFP

Manchester: Perbandingan prestasi di antara Manchester United dengan Sunderland bagaikan langit dan bumi menjelang pertemuan kedua-dua kelab itu di Old Trafford malam ini.

United menang dua perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris dengan meledak enam gol dan dengan hanya satu kekalahan musim ini, mereka melonjak ke tangga kedua liga, dua mata ketinggalan berbanding jiran mereka Manchester City.

Skuad kendalian Louis van Gaal juga baru saja meraih kemenangan selesa 3-0 ke atas Ipswich Town dalam perlawanan Piala Liga untuk melayakkan mereka ke kelompok 16 pasukan terakhir.

Dalam kejohanan sama Sunderland tewas 1-4 di laman sendiri kepada Manchester City dan pasukan Timur Laut London itu yang pernah menang di Old Trafford pada 1968 seterusnya menyelamatkan mereka daripada tersingkir pada musim 2013/14 kini di tangga tercorot Liga Perdana Inggeris.

Ketua jurulatih Dick Advocaat kini berdepan tekanan hebat apabila Sunderland gagal meraih sebarang kemenangan musim ini dan tidak mungkin mendapat simpati daripada rakan senegara dari Belanda, Van Gaal.

Advocaat bukan nama asing buat Van Gaal dan kedua-duanya pernah bertemu beberapa kali dengan lima seri, tiga kemenangan buat Advocaat dan hanya satu kemenangan memihak pengurus United itu.

United menunjukkan peningkatan dalam tempoh 12 bulan ini selepas permulaan hambar bekas jurulatih Belanda di Old Trafford.

Impak penyerang Anthony Martial, pembelian £36 juta (RM240 juta) dari Monaco Ogos lalu yang menjaringkan empat gol menerusi empat perlawanan, menunjukkan peningkatan United biarpun Van Gaal menegaskan ia tidak wajar melekakan sesiapa pun.

“Ia bukan perkara yang sukar kerana dia seorang pemain sederhana,” kata Van Gaal mengenai pemain Perancis berusia 19 tahun itu.

“Dia tahu dia boleh menjaringkan gol dan mampu melakukannya kerana sokongan pemain lain.

“Berbekalkan kepantasan dan kemahiran dimilikinya, dia boleh menjaringkan gol. Kami gembira tetapi perlu berpijak di bumi nyata.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2015 @ 5:06 AM