SEORANG lelaki Kashmir lari membawa kambing belaannya ketika penunjuk perasaan merusuh selepas solat Aidiladha di Srinagar.

Srinagar (India): Pasukan keselamatan kerajaan melepaskan gas pemedih mata dan menggunakan cota untuk menyuraikan ribuan penunjuk perasaan anti-India yang merusuh selepas solat Aidiladha di Kashmir.

Penunjuk perasaan yang mengibarkan bendera Pakistan serta promilitan turut melaungkan slogan prokebebasan dan membaling batu terhadap pasukan keselamatan yang cuba menghalang mereka berarak di Srinagar serta sekurang-kurangnya dua tempat lain di daerah itu.

Seorang parah selepas terkena gas pemedih mata di Sopore, bandar yang terletak 50 kilometer di barat laut Srinagar, kata seorang pegawai polis yang enggan dinamakan.

Pihak berkuasa mempertingkatkan kawalan keselamatan selain menyekat khidmat Internet dan telefon selama dua hari untuk menghalang pembantah memuat naik gambar korban, terutama membabitkan lembu yang dianggap suci bagi orang Hindu.

Keadaan semakin tegang di rantau itu selepas mahkamah dua minggu lalu mempertahankan undang-undang yang melarang penyembelihan lembu dan penjualan dagingnya di daerah itu.

Keputusan berkenaan tidak disenangi penduduk Muslim dan kerajaan negeri Jammu-Kashmir dijangka mengemukakan rayuan.

Undang-undang bertarikh 1932 itu meletakkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, namun tidak dikuatkuasakan pihak berkuasa India sejak tujuh dekad lalu. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2015 @ 5:04 AM