SALAH satu program Travelling Beruang yang membuat lawatan terhadap kanak-kanak pesakit kanser.
UNGKU Ismail, Farahida dan Izham bersama penaja lain kempen Travelling Beruang.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


Jarang kempen khidmat sosial menerima sambutan hebat daripada masyarakat.

Bagaimanapun, ia berbeza dengan kempen Travelling Beruang yang diwujudkan TV3 dan Majlis Kanser Negara (MAKNA) memberi kesedaran mengenai kanser dalam kalangan kanak-kanak sejak Jun lalu mendapat perhatian seluruh rakyat Malaysia menerusi #TravellingBeruang yang diperkenalkan.

Kempen ini turut membawa misi murni iaitu untuk mengumpul dana bagi membantu pesakit kanser kanak-kanak di Malaysia menerusi Tabung Travelling Beruang MAKNA.

Selain derma daripada orang ramai dan syarikat korporat, dana tabung itu turut diperoleh menerusi jualan patung Travelling Beruang.

Baru-baru ini, RM111,645 berjaya dikumpul hasil jualan patung Travelling Beruang menerusi kempen membabitkan TV3 dan AirAsia Bhd selaku penaja utama dan Altel sebagai penaja bersama.

Sumbangan itu disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Bhd Ahmad Izham Omar, Ketua Komersial AirAsia Bhd, Spencer Lee dan Ketua Pegawai Operasi Altel Communication Sdn Bhd, Rizwal Mohd Ain kepada Pengurus Besar MAKNA, Farahida Mohd Farid dalam majlis di sebuah hotel di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Ahmad Izham berkata, mereka berharap kempen ini bakal mengutip jumlah dana yang besar serta berterusan bagi membantu pesakit kanser dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia.

“Patung khas Travelling Beruang juga menepati objektif di mana ramai yang membawa patung itu sebagai teman kembara bagi merealisasikan simbolik harapan pesakit kanser kanak-kanak yang ingin melihat dunia. Patung itu boleh dilihat di London, Paris, Australia, Oman, Jepun dan Amerika Syarikat,” katanya.

Izham turut memuji pelakon Ungku Ismail Aziz selaku duta kempen berkenaan kerana usaha yang digerak­kannya berjaya meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penyakit kanser dalam kalangan kanak-kanak.

Katanya, telefilem Travelling Beruang lakonan Ungku Ismail dan Siti Elizad juga ditayangkan November ini.

“Kita juga merancang menganjurkan tayangan amal telefilem ini di dua pawagam sekitar Lembah Klang bertujuan mengutip dana untuk tabung itu,” katanya.

Patung Travelling Beruang jelajah dunia

Kempen Travelling Beruang menerima maklum balas memberangsangkan terutama dalam penggunaan hashtag #TravellingBeruang.

Salah satu inisiatif kempen itu menyeru orang ramai bergambar bersama patung beruang setiap kali mengembara yang diinspirasikan daripada penghidap leukemia kanak-kanak, Nurhasmime Abdul Hamid, 7, atau Mime yang ingin melihat dunia.

Sehingga kini lebih 8,000 foto berkaitan kempen itu dimuat naik menerusi Instagram.

Turut sama menyokong usaha murni itu ialah golongan selebriti seperti Fara Fauzana, Elfira Loy, Shukri Yahaya, Azrel Ismail, Fiza Sabjahan, Izreen Azminda, Janna Nick, Nazim Othman dan ramai lagi.

Ungku Ismail turut menjelajah enam destinasi iaitu Lombok, Perth, Siem Reap, Ho Chi Minh, Tokyo dan Chongqing di China.

Ia juga destinasi dalam rangkaian AirAsia bagi penggambaran dan kapsul istimewa buat kempen ini.

Meskipun pengembaraan Ungku Ismail sudah berakhir, namun inisiatif kempen dan simbolik harapan pesakit kanser kanak-kanak yang disandarkan kepada patung beruang itu tidak akan terhenti kerana patung asal yang sebelum ini dimiliki Ungku Ismail diserahkan kepada pemilik baru iaitu Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Aireen Omar.

Beliau akan menyambung pengembaraan bersama patung ini sebelum tugas itu diserahkan kepada pengembara seterusnya. Patung itu diramal bakal menjadi legasi kepada kempen ini.

Bukan hanya tertakluk kepada jualan patung beruang, dana tabung ini diramalkan terus meningkat kerana turut diperoleh menerusi derma ikhlas kepada Tabung Travelling Beruang MAKNA.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan di akaun Maybank 514075616705.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2015 @ 5:02 AM