IHSAN Nabil daripada akaun @NabilAhmad83
Oleh Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelawak dan pengacara, Nabil Ahmad, 32, yang kini berada di Makkah bagi mengerjakan haji lega apabila dapat melakukan ibadat melontar jamrah di Mina dengan lancar dan selamat, malam tadi.

Nabil ketika dihubungi, berkata dia bersama kumpulan jemaah haji lain dari Malaysia bergerak ke Mina dari Makkah, malam semalam, waktu tempatan untuk melakukan ibadat itu.

"Alhamdulillah, ibadat melontar jamrah dipermudahkan Allah SWT. Sepanjang perjalanan ke Mina juga kami tidak berdepan sebarang masalah.

"Sebelum itu, kami diberi taklimat dan nasihat supaya sentiasa berjalan dalam berkumpulan dan berhati-hati," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Ketika tragedi rempuhan di Mina yang mengorbankan 717 jemaah haji dan sekurang-kurangnya 850 cedera berlaku, pagi semalam, waktu tempatan, Nabil masih berada di Makkah dan hanya bergerak ke Mina pada sebelah malam.

Nabil berkata, dia dan kumpulannya tidak mengikuti laluan tempat berlakunya tragedi itu untuk melontar jamrah, malam tadi.

Katanya, sejak kejadian itu dia menerima banyak mesej menerusi WhatsApp daripada keluarga dan rakan di Malaysia bertanyakan keadaannya di sana.

“Apa saya boleh katakan ialah meminta mereka sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kesihatan saya. Mula-mula memang terkejut apabila dimaklumkan mengenai tragedi itu. Bagaimanapun, tidak ada apa perlu ditakutkan kerana ajal dan maut adalah kuasa Allah SWT,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2015 @ 7:54 PM