ANTARA pil Ecstacy yang dirampas.
Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menahan lima individu termasuk tiga warga asing dan merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM6.7 juta sepanjang awal bulan ini hingga Rabu lalu.

Pengarahnya, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, pihak polis turut berjaya membongkar satu makmal dadah memproses dan membungkus pil Ecstacy yang beroperasi di sebuah kondominium di Jalan Kuchai Maju pada Jumaat lalu.

Menurutnya, sebanyak 35 bungkusan plastik mengandungi 35,000 biji pil Ecstacy dan cecair bahan terlarang itu dianggarkan bernilai RM3.5 juta yang sudah siap untuk dipasarkan, ditemui dalam kondominium terbabit.

"Kita menahan seorang lelaki warga Afrika dan dua Iran yang cuba menyeludup dadah ke negara ini melalui Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA).

 "Dua lagi yang ditahan ada pasangan suami isteri ditahan di mana lelaki itu ditahan di Cheras sementara pasanganya ditahan di kediaman mereka di Setapak bersama pelbagai jenis dadah disembunyikan di rumah itu," katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini. 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Oktober 2014 @ 2:01 PM