JEMAAH Malaysia di Arafah. FOTO Noor Azam Abd Aziz
ASYRAF menyampaikan khutbah Arafah. FOTO Noor Azam Abd Aziz
JEMAAH Malaysia di Arafah. FOTO Noor Azam Abd Aziz
JEMAAH Malaysia di Arafah. FOTO Noor Azam Abd Aziz
Daripada Noor Azam Abd Aziz di Makkah
am@hmetro.com.my


Makkah: Talbiah ‘Labbaik Allahumma Labbaik’ (Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, Ya Allah) berterusan berkumandang di khemah penginapan jemaah haji Malaysia di Arafah, hari ini.

Suasana penuh bersemangat dan syahdu itu menimbulkan rasa keinsafan mendalam kepada jemaah haji di sini sebagai tetamu Allah.

Bagi pengisian rohani jemaah haji turut mengikuti program ibadat oleh Bahagian Bimbingan Ibadat Tabung Haji antaranya Qiamulai dan solat hajat di surau secara berjemaah.

Wukuf bermula daripada tergelincir matahari (masuknya waktu Zuhur) pada 9 Zulhijjah sehingga terbitnya fajar Subuh 10 Zulhijjah.

Tinjauan Harian Metro ke beberapa khemah jemaah haji sementara menanti waktu zuhur mendapati mereka begitu khusyuk beribadat walaupun suhu mencecah 45 darjah selsius.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ketika menyampaikan khutbah Arafah di khemah Maktab 88 berkata, ibadat haji melatih kita supaya bersatu haluan dalam meninggikan syiar Islam.

Katanya, umat Islam perlu berganding bahu untuk menegakkan agama Allah menjalin hubungan yang erat tanpa mengira warna kulit, bahasa, adat resam sesama saudara Islam.

Beliau mengimbau peristiwa di Arafah yang dilaksanakan Rasulullah pada 9 Zulhijjah Tahun 10 Hijrah.

Baginda SAW juga membacakan khutbah yang dikenali sebagai Khutbah Al-Wada’ di hadapan hampir 144,000 jiwa manusia.

"Ibadat haji yang kita sedang lalui ini adalah medan untuk mengukur ketakwaan seseorang. Ini dapat kita rasai sejak kita keluar dari rumah di tanah air hingga kini di Arafah, seterusnya ke Muzdalifah, ke Mina melontar jamrah, bercukur atau bergunting dan seterusnya tawaf dan saie.

"Amalan haji perlu dilaksanakan dengan penuh iman dan takwa, lakukan dengan sebaik-baiknya tanpa rungutan, tanpa banyak keluh kesah dan tidak menyakitkan serta menyusahkan orang lain. Setiap masalah perlu diatasi bersama dengan penuh hikmah dengan menolak sikap mementingkan diri sendiri.

"Ketika ini, tergambar akan gambaran kehidupan di akhirat kelak. Walau betapa tinggi pangkat darjatnya, walau betapa banyak harta kekayaan, betapa kasih dan sayang terhadap isteri atau suami dan anak-anak tetapi selepas jasad bersemadi dalam tanah, tiada yang lebih penting kecuali amalan soleh yang dikerjakan semasa hidup," katanya.

Doa yang dibacakan selepas khutbah juga menyebabkan ramai jemaah haji mengalirkan air mata.

Selepas Arafah, jemaah haji Malaysia bergerak ke Muzdalifah untuk bermabit (berada seketika atau bermalam) di Muzdalifah mulai jam 11.40 malam.

Pada 10,11,12 dan 13 Zulhijjah, jemaah haji Malaysia akan berada di Mina untuk ibadat melontar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2015 @ 9:34 PM