Oleh Prof Madya Datin Dr Sapora Sipon.

Saya mempunyai keluarga yang bahagia, namun kini semakin berubah apabila ayah saya baru membuat akaun WhatsApp. Pada mulanya, ayah tidak taasub, namun lama-kelamaan dia semakin seronok, apatah lagi kembali berhubung dengan kawan sekolah dulu.

Beliau kerap menghadap telefon mengalahkan saya dan adik yang masih remaja. Pada mulanya, saya tidak begitu bimbang hal ini, tapi sejak kebelakangan ini dia kerap keluar malam berjumpa kawannya padahal sebelum ini ayah tidak gemar keluar malam kecuali jika ada urusan penting. Dia tidak melepak di warung kopi.

Kami bukan mempertikaikan ayah keluar malam berjumpa kawannya kerana itu haknya, apatah lagi kami sudah besar cuma tidak senang dengan perubahan drastik ayah.

Kini, ayah menjadi agak pemarah terutamanya terhadap ibu. Ayah memang seorang yang garang dan tegas dalam mendidik, tetapi sebelum ini tegasnya pada tempat sepatutnya.

Sebelum ini, ayah tidak terlalu kerap menyakiti hati ibu, malah jika berbuat demikian dia akan memujuk dengan membuat sesuatu yang romantik agar ibu terhibur.

Saya sendiri melihat ayah melenting tidak tentu pasal dan menjawab dengan kasar apabila ditanya secara lembut oleh ibu. Saya dapat melihat air muka ibu yang terluka, tersinggung. Namun, ibu hanya berdiam diri dan bersabar, malah berlagak seperti tiada apa berlaku.

Saya pernah menyindir ayah dengan agak kasar. Saya tidak pasti adakah perbuatan ini elok atau tidak kerana dapat menyuarakan sesuatu dalam mempertahankan ibu saya.

Apakah yang saya dapat lakukan untuk menyedarkan ayah ?

ANAK SEDIH

Pahang

Terima kasih Dr ucapkan di atas perkongsian yang adik lakukan. Melihat seseorang yang kita sayangi berubah dalam sekelip mata memang memeritkan apatah lagi jika keharmonian sebuah keluarga itu terganggu. Tidak dapat Dr sangkal bahawa teknologi memberi kesan baik dan buruk kepada pengguna, apa lagi apabila tidak menghiraukan masyarakat sekeliling, malah ahli keluarga sendiri.

Dr berpendapat, ayah adik mendapat satu kejutan budaya teknologi apabila selalu meng­gunakan WhatsApp dengan teman lama sehingga tidak menghiraukan keluarga. Seperti yang diberitahu, adik tidak kisah apabila ayah keluar malam untuk lepak bersama kawannya, namun ia menjadi masalah apabila sikap ayah adik mula berubah daripada penyayang kepada mudah melenting.

Apa yang Dr boleh sarankan kepada adik, jangan bersikap terlalu agresif kepada ayah dengan mengeluarkan kata-kata sinis kerana kemungkinan besar ia akan mencetuskan kemarahan kerana beranggapan adik tidak lagi menghormatinya sebagai ayah.

Adik sebagai anak yang tua dan dapat melihat suasana yang berlaku secara luas, adik sendiri boleh bercakap degan ayah di atas perubahan yang terjadi. Mungkin ayah adik tidak perasan akan perubahan itu,

Dr sarankan untuk meluahkan apa yang terbuku di hati dengan penuh kasih sayang. Hati ayah mana tidak akan lembut apabila anaknya bercakap daripada hati ke hati. Carilah masa yang sesuai dan tidak bercakap secara terbuka di hadapan adik-beradik yang lain kerana ia akan menyebabkan ayah malu. Adik juga boleh menulis surat kepada ayah. Dr doakan yang terbaik buat adik sekeluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 November 2014 @ 5:23 AM