Plaza Low Yat ialah lokasi Shahrul Anuar didakwa mencuri telefon bimbit, Julai lalu. - Foto NSTP (Fail)

Kuala Lumpur: Mahkamah Majistret di sini hari ini, menetapkan dua hari iaitu 30 November dan 1 Disember untuk perbicaraan kes penganggur yang menghadapi pertuduhan mencuri sebuah telefon bimbit di Plaza Low Yat di sini, Julai lalu.

Majistret Nur’Aminahtul Mardiah Md Nor menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya S Malini Anne memaklumkan permohonan representasi untuk menggugurkan pertuduhan yang dikemukakan tertuduh Shahrul Anuar Abdul Aziz, ditolak Jabatan Peguam Negara.

Sehubungan itu peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang mewakili Shahrul Anuar, 22, memohon mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan.

Shahrul Anuar didakwa mencuri telefon bimbit berharga RM800 di Techasia Boutique, Plaza Low Yat, Bukit Bintang pada 4.47 petang, 11 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Tertuduh mengemukakan surat representasi pada 14 Ogos. -- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2015 @ 7:52 PM