AFP

Gloucester, United Kingdom: Michael Leitch dan Ayuma Goromaru berpeluang mengukuhkan status mereka selaku wira dengan membantu Jepun mencipta satu lagi kejayaan di Kejohanan Ragbi Piala Dunia apabila berdepan Scotland, hari ini.

Andai menang, Jepun pasti semakin hampir untuk ke suku akhir buat pertama kalinya.

Bagaimanapun, untuk menang perlawanan yang di anggap paling penting itu, jurulatih Eddie Jones berkata, mereka perlu bekerja lebih keras berbanding ketika menundukkan juara dua kali, Afrika Selatan 34-32, Sabtu lalu.

“Kami tidak datang ke sini hanya untuk membuat satu kejutan saja. Kami berada di sini untuk bermain di Piala Dunia dan mara ke suku akhir,” kata Jones, 55, menjelang aksi Kumpulan B itu.

“Jika pemain saya tidak gembira dengan apa yang berlaku Sabtu lalu, ia pasti menjadi masalah tapi mereka ternyata gembira.”

Jones yang terlepas peluang merangkul gelaran dunia ketika aksi berlangsung di Sydney 2003, berkata pasukannya perlu bertindak pantas serta mantap di Gloucester untuk memerangkap Scotland yang setakat ini masih belum bermain.

“Permulaan permainan adalah penting. Kami perlu bermula awal. Tapi ia bukan mudah walaupun kami sudah menang perlawanan sebelum ini,” kata Jones.

“Jika kita pinjam falsafah kriket, apabila anda mengumpul 100 mata, anda perlu berusaha lebih keras pada perlawanan berikutnya.”

Jones yang bakal mengendalikan skuad Super 18 Afrika Selatan, Western Stormers selepas Piala Dunia percaya dengan 15 pemain utama yang bakal diturunkan pada pertemuan itu nanti.

Kapten pasukan, Leitch akan sekali lagi mengendalikan pasukan buat kali ke-15 dan bakal muncul antara individu paling kerap diberikan tanggungjawab sebagai ketua pasukan dalam sejarah ragbi Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2015 @ 8:23 AM