RYAN teruja mengadakan persembahan solo di APM2015.
Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my


Bukan mudah mencipta nama sebagai penyanyi di Singapura. Dengan liputan televisyen dan radio yang terhad, sesiapa yang mencuba perlu bersedia berdepan apa jua kemungkinan.

Andai bernasib baik, mereka senang dikenali dan jika sebaliknya menempuh pelbagai kesukaran.

Itulah dilalui penyanyi yang kian mendapat tempat di hati peminat Kota Singa, Ryan Sufiyan, 34.

Berbekalkan pengalaman menyanyi di kafe dan kelab selama lima tahun, penyanyi ini berjaya melepasi fasa mencabar itu dan mampu menarik nafas lega.

Lebih menggembirakan, buat kali kedua namanya tersenarai untuk tiga kategori dalam Anugerah Planet Muzik (APM) 2015.

Jika tahun lalu nama Ryan tercalon untuk dua kategori, tahun ini dia tercalon untuk kategori Artis Paling Popular (Singapura), Lagu Paling Popular (Cinta Kita) dan Lagu Paling Popular (Gelap Malam).

“Alhamdulillah tahun ini tercalon sekali lagi dalam APM. Rasa teruja kerana mendapat pencalonan sebagai top 5. Lebih bermakna, saya turut berpeluang membuat persembahan solo pada malam APM nanti menerusi lagu Gelap Malam.

“Saingan begitu sengit dan saya tidak meletakkan harapan yang tinggi. Tercalon dalam top 5 sudah cukup membuatkan saya berpuas hati,” katanya.

Mempertaruhkan muzik pop rock, Ryan berharap dapat menarik perhatian pencinta muzik di Malaysia.

Baginya, pasaran muzik yang besar di Malaysia membuatkan setiap penyanyi Singapura teringin mencipta nama dan dikenali di sini.

“Saya memang berharap menjadi sebahagian daripada penyanyi pop rock yang dikenali di Malaysia.

“Insya-Allah selepas APM nanti pelbagai perancangan diatur untuk bertemu peminat di sini dan melancarkan lagu daripada album Ryan Sufiyan Kembali.

“Harap kehadiran saya diterima baik rakyat Malaysia,” katanya.

Album ciptaan sepenuhnya Ryan dan Yazri Malik daripada Yazri Malik Records itu memuatkan 12 lagu manakala empat lagu dimainkan di radio Singapura.

Mengulas tajuk Ryan Sufiyan kembali, dia berkata ia menjadi pilihan kerana menggambarkan kembara seninya ketika ini.

“Sebelum ini, saya aktif mengacara dan sudah sampai masa untuk kembali fokus pada nyanyian.

“Ryan Sufiyan Kembali merujuk kepada perkara itu dan secara langsung memberitahu kepada peminat saya akan kembali menghiburkan mereka dengan seleksi lagu terbaik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2015 @ 8:01 AM