Di mana silapnya jika remaja khususnya pelajar kurang minat membaca? SHUHADA MANSOR rungkai persoalan ini melalui fakta dan huraian berguna untuk kita lebih terbuka minda.

Kurang minat membaca buku bukanlah salah sesiapa kerana ia bergantung kepada individu itu sendiri. Namun, jika tabiat kurang minat membaca buku terutama dalam kalangan pelajar sama ada peringkat sekolah atau universiti, situasi ini mampu mempengaruhi kualiti generasi pada masa depan.

Seperti kita tahu, amalan membaca dalam kalangan masyarakat negara ini masih berada pada tahap sederhana dengan purata antara lapan hingga 12 buku setahun. Walaupun terdapat peningkatan daripada kajian sebelum ini, namun jumlahnya tidak jauh berbeza.

Remaja: Antara 8 - 12 buku setahun

Hasil kajian dikongsi sumber Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan beberapa tahun lalu mendapati statistik

dijalankan berdasarkan kadar purata membaca mengikut usia iaitu golongan di peringkat persekolahan mempunyai purata membaca 12 buku setahun.

Bagaimanapun, selepas tamat pengajian atau selepas berusia 21 tahun, purata membaca jatuh kepada lapan buku setahun.

Apa yang membimbangkan, Malaysia sebagai negara dunia ketiga dan sedang membangun, purata membaca generasi muda negara ini masih sederhana jika dibandingkan dengan negara maju. Fakta ini seolah-olah meletakkan rakyat negara ini paling malas membaca.

Mahasiswa: Empat buku setahun

Artikel ‘Budaya Ilmu dalam Kalangan Rakyat Malaysia’ oleh Salim Md Zain dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menjelaskan, purata jumlah buku dibaca mahasiswa negara ini jauh ketinggalan berbanding negara lain.

Berdasarkan kajian, direkodkan jumlah buku dibaca pelajar Australia ialah 180 buku, Indonesia (94), India (130), Thailand (56) dan Brunei 26 buku dalam tempoh setahun.

Sementara itu, pensyarah Jabatan Media Universiti Malaya (UM), Dr Abu Hassan Hasbullah menjalankan kajian dengan membandingkan tabiat membaca antara pensyarah dan penuntut.

Kajian itu menggambarkan mahasiswa Malaysia hanya membaca empat buku setahun manakala pensyarah pula didapati membaca 20 buku untuk tiga tahun pengajian bersamaan enam semester.

Sumber bacaan ‘online’

Dengan kecanggihan teknologi masa kini, penuntut universiti bahkan pelajar sekolah lebih gemar merujuk sesuatu perkara dan membaca buku secara ‘online’.

Selain mencari penyelesaian terhadap persoalan ilmiah, anda juga dapat melayari pelbagai cabang media sosial untuk mengurangkan tekanan kerja. Itu antara alasan popular diberikan.

Bagaimana pula dengan pengaruh komik online, penulisan berunsur hiburan dan bahan kategori tidak ilmiah? Pakar psikologi kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Sulaiman Selamat berkata, kecenderungan mahasiswa dan generasi muda memilih bahan bacaan ringan kerana terdedah dengan budaya generasi baru yang dilahirkan dalam persekitaran mudah, mewah, pantas dan selesa.

Tidak salah merujuk kepada Internet untuk memperoleh maklumat, tetapi perlu diseimbangkan dengan hiburan di tahap sepatutnya. Buku dalam bentuk digital e-Book ataupun format pdf yang dimuat turun melalui Internet juga praktikal.

Jangan hanya gunakan alasan membaca buku ‘online’ tetapi menyalahgunakan kemudahan diberikan kepada kita.

Ubah sikap membeli tapi sia-sia

Tidak ada alasan tidak membeli buku. Pelbagai pameran, jualan buku besar-besaran dengan tawaran harga terbaik boleh kita dapati. Apatah lagi bagi anda berstatus pelajar atau penuntut universiti yang pastinya ada potongan tambahan.

Rebut peluang membeli buku dan bahan bacaan pada harga murah. Pesta buku Popular dan Big Bad Wolf contohnya menawarkan peluang baik mengumpul keperluan bacaan anda selama setahun. Kedai buku terpakai dan perkhidmatan pinjaman buku turut menyediakan alternatif mendapatkan buku dengan murah. Tapi ingat, jangan suka membeli, tapi akhirnya buku tadi tidak diselak hingga buruk fizikalnya. Manfaatkan pengeluaran wang untuk jadikan kita generasi lebih berilmu dan tidak mudah disogok dengan propaganda.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2015 @ 7:49 AM