Gambar yang dirakam dari helikopter Agensi Tebatan Bencana Indonesia menunjukkan kebakaran kawasan perladangan di Riau, minggu lalu. - Foto AFP

Jakarta: Indonesia mengambil tindakan terhadap empat syarikat dengan membatalkan lesen satu syarikat pembalakan dan menggantung operasi tiga syarikat perladangan kelapa sawit kerana menjadi punca kebakaran hutan di negara itu hingga menyebabkan sebahagian Asia Tenggara diseliputi jerebu yang teruk.

Kebakaran itu bermula dengan pembakaran untuk pembukaan kawasan perladangan baru untuk kelapa sawit dan pokok membuat kertas di Sumatera dan Kalimantan.

Jurucakap Kementerian Alam Sekitar Indonesia, Eka W Sugiri, berkata kementerian itu membatalkan lesen syarikat pembekal balak, Hutani Sola Lestari di Sumatera mulai semalam, serta menggantung operasi tiga syarikat perladangan kelapa sawit Indonesia.

“Pihak kami mendapati kebakaran berlaku di kawasan milik syarikat terbabit dan menyumbang kepada bencana jerebu dengan syarikat pembekal itu melakukan kesalahan paling berat,” katanya.

Eka berkata, syarikat pembekal balak itu tidak dibenarkan beroperasi lagi manakala tiga syarikat perladangan itu perlu menghentikan operasi sehingga sisatan polis terhadap mereka selesai.

“Banyak lagi syarikat akan dikenakan tindakan itu, sama ada dibatalkan lesen atau digantung operasi, bergantung kepada berat atau tidak kesalahan,” katanya.

Indonesia melancarkan siasatan terhadap lebih 200 syarikat, termasuk dari Malaysia dan pihak lain yang dipercayai menjadi penyebab kebakaran hutan besar-besaran di Sumatera dan Kalimantan.

Kualiti udara di Kalimantan tambak buruk hari ini, dengan sesetengah kawasan mencapai tahap amat berbahaya manakala keadaan di Sumatera bertambah baik. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2015 @ 6:30 PM