Makkah: Jemaah haji Malaysia, hari ini, mula bergerak ke Arafah untuk berwukuf bagi melaksanakan rukun penting dalam ibadat haji.

Jemaah haji Malaysia yang menetap di enam maktab di Tanah Suci Makkah mula bergerak ke Arafah secara berperingkat-peringkat mengikut kumpulan penerbangan haji mereka (KT penerbangan) dengan menaiki bas.

Bas mula bergerak mengikut enam jadual waktu berlepas iaitu pada pukul 1 pm (6 pm waktu Malaysia), 3 pm dan 5 pm, 6pm, 8pm dan 10pm waktu Arab Saudi.

Lebih tiga juta umat Islam dari seluruh dunia termasuk lebih 22,000 jemaah haji dari Malaysia akan berwukuf di Arafah mulai esok, selepas 12 hari berlakunya tragedi kren tumbang di Masjidil Haram pada 11 Sept lepas yang mengorbankan lebih 100 nyawa termasuk tujuh jemaah Malaysia.

Tempoh berwukuf dalam ibadat haji bermula apabila tergelincirnya matahari (masuknya waktu zohor) pada 9 Zulhijjah sehingga terbitnya fajar subuh pada 10 Zulhijjah.

Di Arafah, jemaah haji Malaysia ditempatkan di lebih 2,000 khemah, di tapak yang sama seperti musim haji lepas.

Pengarah Operasi (Bimbingan) Tabung Haji (TH) Tengku Aziz Raja Abdullah berkata jemaah haji akan berada di Arafah sehingga 9 Zulhijjah sebelum bergerak ke Muzdalifah pada malamnya (9 Zulhijjah).

“Jemaah haji wajib bermabit (berada seketika atau bermalam) di Muzdalifah mulai pukul 11.40 pm sehingga terbitnya waktu fajar pada 10 Zulhijjah. Pada 10,11 dan 12 Zulhijjah, jemaah akan berada di Mina untuk ibadat melontar,” katanya.

Tengku Aziz berkata setiap jemaah haji juga boleh merujuk kepada pembimbing ibadat TH sekiranya mereka menghadapi sebarang kemusykilan berkaitan pelaksanaan ibadat berkenaan.

“Setiap jemaah perlulah menumpukan sepenuhnya kepada pelaksanaan ibadat bagi memperoleh haji mabrur,” katanya.

Sementara itu, jenazah dua lagi jemaah Malaysia yang turut disahkan terkorban dalam kejadian kren tumbang di Masjidil Haram pada 11 September lepas selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Syara’ik Muaissem pada pukul 7.45 malam tadi (waktu Arab Saudi).

Jenazah Allahyarham Shahidan Saad, 52, dan Allahyarham Abdul Habib Lahman, 68, disembahyangkan di Masjidil Haram selepas solat Maghrib.

Jenazah sekali lagi disembahyangkan di tanah perkuburan berkenaan dengan diimamkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. Abang dan adik lelaki Shahidan, Sobri dan Zulhakimin serta anak Abdul Habib, Mohamad Fazil turut hadir pada pengebumian berkenaan.

Sebelum ini, lima jemaah Malaysia disahkan terkorban dalam tragedi itu iaitu Rusiah Suar, 56, dari Sungkai, Perak; Siti Nurolshlizan Zolkifli, 37, dari Tanah Merah; Rohana Ismail, 54, dari Kuala Krai; Munah Jusoh, 73, dari Cherang Ruku dan Zainun Taha, 69, berasal dari Ampang, Selangor.

Dalam kejadian pukul 5 petang pada 11 Sept lepas itu, lebih 100 jemaah haji terkorban manakala ratusan lagi cedera selepas kren tumbang menghempap bangunan Masjidil Haram, selepas umat Islam selesai mengerjakan solat Asar.

Kejadian berlaku ketika hujan lebat dan ribut pasir di kawasan Masjidil Haram yang sedang giat menjalankan kerja-kerja pembesaran. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2015 @ 5:18 PM