Oleh Mohd Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menegaskan bukan sikap mereka untuk mengamalkan polisi ‘tangkap muat’ apabila membabitkan isu pemain naturalisasi.

Sambil menegaskan tiada ‘lesen besar’ ditawarkan kepada mana-mana pemain berdarah kacukan, Timbalan Presiden FAM Datuk Seri Afandi Hamzah menekankan hanya yang terbaik akan mewakili Harimau Malaya.

“Biarpun prestasi pasukan kebangsaan di pentas antarabangsa amat menyedihkan, ia bukan alasan bagi FAM untuk tidak menghiraukan kualiti yang ada pada seseorang pemain naturalisasi itu,” katanya semalam.

Jelasnya, sudah menjadi kebiasaan buat badan induk bola sepak tempatan itu meletakkan standard tinggi seperti mana yang berlaku kepada tiga pemain berdarah kacukan sebelum ini - Junior Eldstal, Brendan Gan dan Matthew Davies - yang diakui sumbangan mereka memberi nafas baru kepada skuad negara.

Terbaru, Darren Lok, 25, dikaitkan dengan skuad negara melalui bekas pemain Australia dan Sabah Scott Ollerenshaw yang bertindak sebagai orang tengah untuk membawa masuk penyerang kelab Eastbourne Borough itu. Kelab itu beraksi dalam Liga Keenam di Liga Inggeris.

Darren yang mempunyai ayah berasal dari Melaka dikatakan berminat untuk menyarung jersi Malaysia.

“Sememangnya Darren berada dalam pemantauan kami, malah peranannya selaku penyerang menjadikannya lebih bernilai kerana boleh menguatkan jentera serangan.

“Namun itu bukan jaminan untuknya terus mendapat tempat dalam skuad kebangsaan kerana perlu membuktikan keupayaannya terlebih dulu,” katanya.

Menerusi laporan Arena Metro baru-baru ini, enam pemain berdarah kacukan sedang berada dalam radar FAM bagi menyarung jersi Malaysia.

Enam pemain berkenaan adalah Curran L Singh Ferns (Australia - pemain tengah) Daniel Ting (England - pertahanan tengah), Kevin Siak Khin Gunter (Switzerland - pemain tengah), Nicholas Ryan Swirad (England - pertahanan tengah), Samuel Somerville (England - penjaga gol) dan Shazlee Ramlee (Australia - pemain tengah).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2015 @ 8:09 AM