PELAKON dan kru penggambaran Game of Thrones bergambar kenangan dengan anugerah masing-masing.
AFP

Los Angeles: Drama epik fantasi Game of Thrones menang besar untuk drama bersiri terbaik HBO dan turut meraih 12 anugerah lain ketika Majlis Anugerah Emmy ke-67 yang berlangsung kelmarin.

Drama yang diadaptasi daripada novel George R R Martin memenangi banyak anugerah sebelum ini, tetapi ini kemenangan Emmy terbesarnya.

Pencipta rancangan itu, David Benioff dalam ucapannya ketika menerima anugerah berkata: “Terima kasih kepada HBO kerana mempercayakan sang naga.”

Pelakon Viola Davis mencipta sejarah sebagai pelakon kulit hitam wanita pertama memenangi kategori Pelakon Wanita Terbaik dalam Drama Bersiri bagi wataknya sebagai pensyarah perundangan dalam ‘How To Get Away With Murder.’

“Ini memang detik bersejarah sepajang 67 tahun anugerah Emmy,” katanya.

Dia turut memberi penghormatan kepada rakan seperjuangannya Taraji P Henson yang turut tercalon dalam kategori yang sama menerusi drama Empire.

“Kami berdua memburu impian untuk mencipta sejarah. Tidak kisah siapa yang menang, asalkan ia tercapai,” katanya.

Selain itu, Jon Hamm menerima anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dalam Drama Bersiri bagi drama Mad Men selepas lapan kali dicalonkan sebelum ini.

“Ia sangat luar biasa, malah saya menganggap sebenarnya mustahil bagi saya berdiri di sini. Saya amat berbangga,” katanya.

Sementara itu, antara pemenang anugerah lain termasuk siri komedi terbaik HBO menerusi Veep dan beberapa anugerah bagi komedi transgender, Transparent.

HBO turut meraih emas menerusi drama Olive Kitteridge, yang mengisarkan masalah rumahtangga pasangan suami isteri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2015 @ 7:20 AM