ZETI (kanan) memberi pandangan mengenai ekonomi semasa pada Forum Perkembangan Terkini Ekonomi Malaysia 2015, semalam. Dua dari kiri, Idris, Mustapa dan Wahid
Oleh Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ekonomi Malaysia dijangka kembali mengukuh sekiranya faktor global dan keyakinan domestik dapat diatasi dengan segera.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, antara faktor utama yang perlu diatasi terdiri daripada keputusan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) untuk menaikkan kadar faedahnya, pengukuhan harga komoditi dan tenaga, pemulihan ekonomi China serta kemelut domestik yang melanda negara ketika ini.

Beliau berkata, ekonomi negara juga lebih bersedia untuk pulih daripada sebarang kelemahan yang dicetuskan oleh perkembangan luaran memandangkan sistem kewangan yang kukuh.

“Sebagai negara yang mengamalkan dasar ekonomi terbuka, keputusan bank pusat AS sama ada untuk menaikkan kadar faedahnya atau tidak akan memberi kesan kepada Malaysia, termasuk harga komoditi yang mempengaruhi eksport dan pendapatan negara.

“Selain itu, ekonomi China juga menjadi faktor utama kerana negara itu menjadi rakan dagangan utama Malaysia,” katanya pada sesi dialog di Forum Perkembangan Terkini Ekonomi Malaysia 2015 di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU), Datuk Seri Idris Jala.

Zeti berkata, pihaknya percaya China sudah mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan semula pertumbuhan ekonominya biarpun hasilnya bukan dalam tempoh jangka pendek.

Beliau berkata, Malaysia perlu membina kekuatan serta daya tahan sendiri bagi membolehkannya menempuhi ketidaktentuan yang berlaku di China serta AS.

Mengenai isu membabitkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), beliau berkata, bank pusat itu sudah menyelesaikan bahagiannya dalam siasatan berhubung pelanggaran kelulusan dana pelaburan strategik itu dan laporan berkenaan sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2015 @ 5:01 AM