Oleh Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemain skuasy lelaki nombor satu negara Nafiizwan Adnan terkilan kerana diabaikan Majlis Sukan Negara (MSN) apabila dimaklumkan tidak lagi akan ditanggung sepenuhnya jika ingin mengikut langkah Datuk Nicol David berpangkalan di luar negara.

Berada di bawah program elit, atlet kelahiran Terengganu itu menuntut ditanggung sepenuhnya jika berlatih di luar negara dalam usahanya meraih emas temasya Sukan Komanwel 2017 di Gold Coast Australia dan Sukan Asia 2018 Indonesia.

Namun, bekas juara Terbuka Ireland 2013 itu mendapat khabar mendukacitakan apabila dimaklumkan keinginannya untuk berpangkalan di Eropah tidak lagi akan ditanggung sepenuhnya MSN dan semakin kecewa kerana perkara itu juga tidak diperjuangkan Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM).

Berasa seperti ‘dianaktirikan’ MSN, Nafiizwan dimaklumkan dia perlu menanggung perbelanjaan sendiri seandainya memilih untuk berpangkalan di Eropah.

“Saya akan berpindah dan berpangkalan di Manchester selama tiga tahun sebagai persediaan untuk menghadapi Sukan Asia dan Komanwel.

“Namun, apa yang membuatkan saya terkilan MSN tidak setuju dengan tindakan itu. Mereka berkata, jika ingin ke sana saya perlu menggunakan perbelanjaan sendiri.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku jika anda berstatus atlet di bawah program elit yang seharusnya mendapat pembiayaan penuh MSN,” katanya.

Nafiizwan menjelaskan pemergiannya ke Manchester bukan untuk bersuka ria tetapi bagi meningkatkan kualiti permainannya yang dilihat semakin menurun berikutan tidak mempunyai rakan sepelatih berkualiti.

Pernah bergelar juara Asia, Nafiizwan yang kini menghuni ranking ke-33 dunia sebelum ini pernah berpangkalan di London pada 2007 hingga 2011 dan disebabkan jurulatihnya Peter Genever menjadi ketua jurulatih negara, dia terpaksa kembali ke Malaysia.

“Selepas Genever menjadi ketua jurulatih, saya kembali ke Malaysia namun selepas beberapa tahun di Kuala Lumpur saya dapat merasakan prestasi semakin menurun kerana tidak mempunyai rakan sepelatih yang betul.

“Nicol ditanggung sepenuhnya MSN jadi mengapa tidak saya. Hasrat saya untuk ke Manchester adalah bertujuan memajukan corak permainan dan berharap MSN dapat mempertimbangkan kembali keputusan saya untuk ke Eropah,” katanya yang melakar kejutan apabila menewaskan pilihan pertama Omar Mosaad di suku akhir Terbuka Macau.

Namun, perjalanannya terhenti di separuh akhir apabila kecundang kepada pilihan keenam dari Mesir, Fares Dessouki 5-11, 3-11, 3-11, kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2015 @ 5:08 AM
Skip this ad x