TERTUDUH dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu. FOTO Syahirah Abdullah
Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Seorang lelaki berusia 33 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan membunuh neneknya menggunakan parang.

Tertuduh, Maslizan Muhamad dari Bandar Cheneh Baru, Kemaman mengangguk faham ketika pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dibacakan dihadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Halimah Taib, 78, di hadapan sebuah rumah di Kampung Surau Haji Daud, Pengadang Buloh, di sini, 9.30 pagi pada 7 September lalu.

Bagi kesalahan itu,tertuduh berdepan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan sebelum Abdul Hayyi menetapkan 18 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana R Azmi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2015 @ 12:00 PM