PEMAIN KLHC meraikan jaringan Muhammad Razie (tengah).
Oleh Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Pasukan berbelanja besar, Terengganu Hockey Team (THT) menerima tamparan hebat apabila tewas 1-2 kepada juara bertahan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) pada saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) semalam.

Dibarisi rata-rata pemain kebangsaan, pasukan yang berjaya menyambar beberapa pemain bintang termasuk penyerang utama negara Faizal Saari pada musim ini, ternyata tidak mempunyai jawapan untuk mengekang asakan barisan pemain muda KLHC.

“Sudah tentu saya cukup berpuas hati dengan keputusan ini kerana kami bertemu lawan yang menjadi pilihan pada musim ini.

“Apapun saya mahu mereka terus fokus untuk perlawanan seterusnya,” kata pengendali KLHC Muhammad Dhaarma Raj Abdullah selepas berakhir perlawanan semalam.

THT di depan pada minit ke-26 menerusi jaringan padang Kang Moon Kweon tetapi KLHC berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan padang Mohd Syamim Mohd Yusof pada minit ke-33. Pakar pukulan sudut penalti negara Muhammad Razie Abd Rahim muncul wira dengan gol kemenangan minit ke-40.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 November 2014 @ 5:11 AM