Peminat dua pelakon ini, Uqasha Senrose dan Shafiq Kyle tahu mereka dulu pernah bercinta. Bagaimanapun perkara itu sebaik mungkin mereka rahsiakan daripada pengetahuan umum.

Tiba-tiba pertengahan tahun ini, hubungan mereka dikatakan berantakan dan cinta dibina terputus di tengah jalan. Seperti mana mereka merahsiakan percintaan dijalin, begitu juga dengan kegagalan cinta mereka sehingga tiada siapa tahu puncanya.

Terbaru Cik Pang dapat berita yang cinta Uqasha dan Shafiq kembali bertaut. Semuanya gara-gara sewaktu mereka kembali ditemukan dalam satu telefilem.

Menurut sumber yang menyampaikan berita gembira ini kepada Cik Pang, pada peringkat awalnya mereka main tarik tali untuk menerima tawaran dan ditemukan dalam telefilem itu.

Mungkin banyak perkara yang difikirkan waktu itu. Hendak menahan perasaan yang bercampur baur akibat berhadapan situasi putus cinta antara mereka sebelum ini.

Selepas memberi tempoh diminta bagi memikirkan adakah mereka patut menerima tawaran terbabit atau tidak, akhirnya Uqasha dan Shafiq memberi keputusan mengejutkan. Mereka bersetuju untuk ditemukan.

Menurut sumber, pihak produksi bagaimanapun tidak pasti sama ada mereka menghubungi antara satu sama lain bagi membincangkan tawaran diberikan.

Apa yang menarik perhatian mereka yang berada di lokasi, apabila ada babak sedih putus cinta antara mereka, kedua-dua pelakon ini benar-benar menghayati watak. Shafiq pula dikatakan menangis bersungguh-sungguh sehingga mata bengkak.

Kata sumber lagi, selepas babak itu, Uqasha dan Shafiq dikatakan kembali mesra dan tidak dingin seperti waktu hari pertama mereka ditemukan semula di lokasi.

Masuk hari ketiga dan keempat, mereka semakin akrab shinggakan apabila tiba waktu rehat atau penggambaran dihentikan, mereka terus berlari masuk kereta bersama dan duduk berjam-jam lamanya.

Bagi Cik Pang, baguslah kalau apa yang disampaikan ini benar. Kalau cinta mereka tidak kembali bertaut pun, tidak salah kalau mereka berkawan baik.

Mengapa cinta tidak kesampaian itu harus bertukar menjadi benci. Bukankah mereka pernah berkongsi perasaan indah yang sama. Tak gitu?

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2015 @ 5:03 AM