TEMPAT duduk pemandu.
BUTANG penghidup enjin.
RUANG kokpit penuh dengan teknologi terkini.
MITSUBISHI Triton.

Pemanduan sejauh 437 kilometer dengan Mitsubishi Triton dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang, baru-baru ini, sudah cukup untuk penulis menilai kebolehan trak pikap generasi terbaru yang diperkenalkan Mitsubishi Motors Malaysia pada Mei lalu.

Dari segi reka bentuknya, penulis mengakui ia menampilkan imej moden tanpa mengorbankan ciri maskulin yang ada pada sebuah pikap trak.

Rekaan pada Mitsubishi Triton generasi terbaru ini boleh dikatakan mendahului pesaing yang lain, malah bersesuaian untuk pemanduan harian di kawasan bandar.

Ini boleh dilihat pada lampu hadapan HID Xenon de­ngan lampu nyalaan siang pada varian tertinggi menerusi Mitsubishi Triton VGT Adventure yang memberi identiti tersendiri kepada jenama berkenaan.

Ia termasuk reka bentuk kabinnya dengan konsep ‘J-Line’ dan boleh dikatakan yang pertama dicipta bagi trak pikap pada peringkat global.

Sebenarnya, konsep ‘J-Line’ yang boleh dilihat antara kabin dan ruang penyimpan barang belakang banyak memberi manfaat terutama kepada penumpang belakang.

Jika membuat perbezaan dengan trak pikap lain, adakah tempat duduk belakang memberi keselesaan optimum kepada penumpangnya? Kebiasaan tempat duduk pikap trak adalah menegak yang ternyata memberi kepenatan kepada penumpang belakang.

Justeru, kabin berkonsep ‘J-Line’ ini adalah jalan penyelesaian kepada masalah itu supaya tempat duduk belakang sedikit condong untuk mengurangkan sakit belakang ketika pemanduan jarak jauh.

Malah ruang kabin bagi generasi terbaru ini juga lebih luas dan lebar berbanding model terdahulu.

Ketika berada di ruang kokpit, penulis berasakan seolah-olah berada dalam kereta sedan atau kenderaan utiliti sukan (SUV). Ini kerana penulis terlihat ‘kelibat’ pedal berada di belakang stereng untuk penukaran gear secara manual, biarpun model pandu uji ini adalah varian automatik.

Ternyata ciri-ciri trak pikap ‘sebenar’ tidak ada pada model ini selepas digabungkan teknologi moden untuk mengikuti peredaran semasa dunia automotif global.

Bagaimanapun, ciri moden itulah memberi nafas baru dan menjadi model pertama dalam kategori trak pikap selepas dilengkapi teknologi butang penghidup enjin serta stereng teleskopik.

Biarpun dilengkapi ciri moden, bukan bermakna jentera ini tidak boleh memandu di kawasan hutan.

Setakat meredah kawasan lasak yang tidak terlalu ekstrem, ia tidak memberi masalah kepada jentera ini ketika mengujinya berhampiran kawasan hutan di Tanjung Malim.

Hanya perlu tukar pa­cuan dua roda kepada empat roda, jentera ini sudah tersedia untuk meredah laluan lasak yang dihidangkan kepada wakil media untuk menyertai pandu uji itu.

Butang kawalan 4WD Selector yang ditampilkan bagi Triton baru itu lebih menyenangkan berbanding model konvensional sebelum ini.

Jentera yang tiada sebarang ubah suai itu ternyata mampu mengharungi laluan lasak ketika menaiki dan menuruni bukit, malah berkebolehan meredah laluan anak sungai tanpa sebarang masalah.

Selepas dua jam berada di kawasan hutan, barulah penulis boleh menguji keupayaan dan prestasi jentera ini di lebuh raya.

Padanan enjin 2.5 liter VGT dengan 178 kuasa kuda serta tork setinggi 400 Nm memberi bekalan tenaga mencukupi ketika memecut di lebuh raya.

Setakat memandu 160 kilometer sejam (km/j), tiada masalah bagi jentera ini dan ia juga boleh memecut melebihi kelajuan itu.

Sistem suspensinya juga ‘bermain’ dengan baik untuk keselesaan penumpang belakang, selain kedapan kabinnya dianggap bagus kerana bunyi bising daripada enjin diesel kurang kedengaran.

Secara keseluruhan, Mitsubishi Triton VGT Adventure memberi pakej lengkap bagi sebuah kenderaan untuk kegunaan dalam bandar serta kawasan pedalaman bagi memenuhi aktiviti hujung minggu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2015 @ 5:02 AM