COSTA (kiri) pacu kemenangan Chelsea.
AFP

Liverpool, England: Pengurus Chelsea, Jose Mourinho enggan melayan kemungkinan menamatkan musim tanpa sebarang kekalahan walaupun selepas menyaksikan anak buahnya mengukuhkan kedudukan di tangga teratas Liga Perdana menerusi kemenangan 2-1 di Liverpool, kelmarin.

Jaringan Diego Costa pada minit ke-67 membolehkan Chelsea meraih kemenangan di Anfield sekali gus membantu Chelsea melebarkan rekod tanpa kalah sejak Mac lalu dan ia pantas mencetuskan perbandingan dengan skuad Arsenal 2003-04 yang tidak tewas sepanjang musim.

Namun, Mourinho percaya andaian pasukannya mampu menyamai Arsenal dengan mengharungi musim ini tanpa tewas adalah satu khayalan semata-mata.

“Tidak mungkin,” katanya apabila ditanya mengenai peluang skuad kendaliannya tidak tewas bermula sekarang hingga 24 Mei depan.

“Mungkin kami mampu menjadi juara. Kami memburu gelaran itu namun dalam bola sepak, saya tidak percaya kami tidak akan tewas sepanjang musim.

“Satu hari nanti, kami akan tewas namun selepas itu kami akan kembali menang. Kami mungkin bermain dengan buruk namun kami akan bangkit dalam permainan kerana kami pasukan yang kuat.

“Chelsea adalah pasukan yang stabil namun saya sudah cukup berpengalaman untuk menyedari kekalahan dan tempoh buruk akan tiba. Kami bersedia untuk itu, kami percaya kepada semua pemain. Kami berada dalam keadaan gembira.”

Kemenangan membolehkan Chelsea mengatasi Liverpool dengan kelebihan 15 mata, pasukan yang menamatkan saingan di kedudukan kedua liga musim lalu dan kelihatan bakal muncul juara sebelum tewas pada lewat kempen.

Bagaimanapun, Mourinho tidak bersedia untuk menafikan terus ancaman anak buah Brendan Rodgers atau menyatakan mereka sudah berada dalam situasi selesa.

“Jika ini adalah saingan liga Sepanyol, Jerman atau Portugal yang biasanya saingan bergelar juara tertumpu kepada dua pasukan, anda mungkin sudah boleh memenanginya dengan kelebihan 15 mata,” katanya.

“Setiap perlawanan sukar. Anda mungkin kehilangan mata pada setiap perlawanan. Ia bukan saja menentang Liverpool tapi Manchester City, Manchester United, Arsenal, Tottenham atau Southampton.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 November 2014 @ 5:09 AM