ANGGOTA tentera Thai memeriksa lokasi motosikal yang digunakan dalam serangan berkenaan.

Narathiwat: Tiga terbunuh dan 14 lagi cedera selepas bom yang diletakkan di sebuah motosikal meletup di daerah Rangae di sini lewat kelmarin, kata polis semalam.

Jurucakap polis, Phakdi Preechachol berkata, letupan berhampiran sebuah kedai runcit itu menyebabkan seorang pegawai tentera dan dua orang awam terbunuh.

Katanya, serangan itu juga menyebabkan 14 orang cedera termasuk seorang askar yang cedera parah di kaki dan terpaksa dipotong.

“Beberapa bom lagi turut meletup di kawasan yang sama, tetapi tidak menyebabkan sebarang kecederaan.

“Kematian dan kecederaan itu berpunca daripada letupan bom motosikal berkenaan,” katanya.

Menurutnya, empat askar juga cedera ringan dalam serangan itu dan sudah dibenarkan keluar dari hospital.

“Kami kini menyiasat dan memburu individu yang bertanggungjawab melakukan serangan berkenaan,” jelasnya.

Serangan bom dan pembunuhan sering berlaku di wilayah di selatan Thailand yang dipercayai didalangi kumpulan pemisah.

Sejak 2004, lebih 6,400 penduduk dan askar kerajaan terbunuh dalam keganasan di wilayah berkenaan.

Bangkok sebelum ini berikrar untuk mengembalikan keamanan di wilayah itu dan mengadakan dialog dengan pemimpin kumpulan pemisah.

Kerajaan Thailand juga membebaskan dua bekas pemimpin pemisah sebagai satu cara untuk mengembalikan keyakinan penduduk di wilayah itu terhadap kerajaan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2015 @ 5:10 AM