AKSI KLHC ketika separuh akhir menentang SAPURA.

Kuala Lumpur: Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) akan membuat perhitungan dengan Terengganu Hockey Team (THT) pada aksi final Piala TNB esok dengan berbekalkan misi menebus kecewa selepas kecundang kepada gergasi Pantai Timur itu dalam perebutan kejuaraan Liga Hoki Malaysia (LHM), baru-baru ini.

Ketua pasukan KHLC Muhammad Razie Abd Rahim berkata, hanya kemenangan di pentas final Piala TNB dapat menebus kekecewaan mereka itu yang tewas pada perlawanan terakhir liga kepada THT sekali gus menyaksikan lawan mereka itu terus mempertahankan kejuaraan liga yang dimenangi musim lalu.

“Pada perlawanan terakhir liga bertemu THT memang kami banyak melakukan kesilapan sendiri. Daripada kesilapan itulah lawan menghukum kami.

“Selepas gagal memenangi kejuaraan liga, kami perlu memenangi Piala TNB bagi memenuhi sasaran kelab yang mahukan satu piala musim ini.

“Kami perlu fokus dari awal hingga tamat permainan kerana sememangnya bukan mudah bertemu THT yang lengkap di semua posisi,” katanya.

KLHC mara ke pentas final selepas mudah menewaskan Sapura pada dua perlawanan separuh akhir manakala THT dilihat terpaksa berhempas pulang sebelum menewaskan Maybank.

Esok pertemuan kali kedua berturut-turut bagi dua pasukan itu di pentas final selepas kali pertama musim lalu yang menyaksikan THT berjaya menjulang Piala TNB.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2015 @ 5:03 AM