TIDAK menyangka berpeluang mengerjakan haji pada usia 32 tahun.
Oleh Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


Berkat doa ketika menunaikan umrah pada Ramadan lalu, pelawak dan pengacara popular, Nabil Ahmad, sekali lagi dijemput menjadi tetamu Allah bagi mengerjakan ibadah haji.

Nabil atau nama sebenarnya, Ahmad Nabil Ahmad berangkat ke Tanah Suci Makkah pada hari ini.

“Saya anggap ini rezeki. Ternyata doa nak ke sana semula sebagai jemaah haji dimakbulkan Allah. Tak sangka pelawaan ini datang daripada sahabat yang juga individu sama membawa saya menunaikan umrah.

“Tidak berseorangan, saya dan jemaah umrah dulu turut dibawa bersama mengerjakan haji. Apabila dipelawa, saya kehilangan kata-kata sehinggakan rasa sebak dan terharu,” katanya.

Menurut Nabil, dia tidak menyangka berpeluang mengerjakan haji pada usia 32 tahun.

“Sebelum saya mengerjakan umrah, terdahulu saya menghantar ibu bapa dan mentua ke sana. Insya-Allah tahun depan saya mahu hantar mereka mengerjakan haji.

“Tak sangka pula saya yang pergi dulu. Betul kata orang, kita mampu merancang Tuhan menentukan,” katanya.

Pengacara program Meletop ini memberitahu, fokus dan tujuannya cuma satu iaitu beribadah.

Justeru, Nabil mempersiapkan diri dengan menghadiri kelas agama.

“Sebenarnya sebelum pergi umrah lagi saya sudah menghadiri kelas agama. Sekembalinya dari sana, rasa rugi jika saya tak teruskan. Alhamdulillah, jalan itu dipermudahkan.

“Saya tak malu mengaku belajar mengaji al-Quran dan pada saya hidup ini perlukan pembelajaran sepanjang masa,” katanya.

Kata Nabil, meskipun pernah menjejakkan kaki ke Makkah, perasaan kali ini nyata berbeza.

Nabil turut menjelaskan gelaran haji yang digalas selepas ini tidak merubah dirinya.

“Saya masih sama cuma mungkin orang sekeliling panggil saya haji. Bagi saya itu cuma gelaran dan apa yang penting tujuan ke sana adalah beribadah.

“Sesiapa yang sudah mengerjakan umrah atau haji, pasti diberikan syafaat atau kebaikan kepada mereka. Daripada situ orang sekeliling dapat melihat perubahan berkenaan.

“Tidak bermakna selepas ini saya akan meninggalkan terus bidang seni. Cuma apa saya nak lakukan adalah terus menghadiri kelas agama,” katanya.

Nabil menjelaskan bidang seni masih menjadi punca rezeki bagi menampung keluarganya.

“Kerja tetap kerja, begitu juga dengan ibadah. Setiap apa dilakukan itu adalah antara saya dengan Allah,” katanya.

Selain mengharapkan keredaan Allah dan mendapat haji mabrur, Nabil mahu berdoa semoga isterinya terbuka hati untuk berhijab.

“Saya tak mahu memaksanya dan biar ia berlaku dengan rela hati. Sebagai suami, saya kena banyak berdoa,” katanya yang akan membawa isterinya menunaikan umrah pada November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2015 @ 5:01 AM