Nabil belajar mengaji al-Quran. FOTO NSTP
Oleh Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Berkat doa ketika menunaikan umrah pada Ramadan lalu, pelawak dan pengacara popular Nabil Ahmad, 32, sekali lagi dijemput menjadi tetamu Allah SWT bagi mengerjakan ibadah haji.

Nabil atau nama sebenarnya, Ahmad Nabil Ahmad akan berangkat ke Makkah esok.

“Saya anggap ini rezeki. Ternyata doa nak ke sana semula sebagai jemaah haji dimakbulkan Allah. Tak sangka pelawaan ini datang daripada sahabat yang juga individu sama membawa saya menunaikan umrah sebelum ini.

“Jemaah umrah bersama saya sebelum ini turut dibawa bersama mengerjakan haji. Apabila dipelawa, saya kehilangan kata-kata sehinggakan rasa sebak dan terharu,” katanya.

Menurut Nabil, dia tidak menyangka berpeluang mengerjakan haji pada usia 32 tahun.

“Sebelum saya mengerjakan umrah, saya menghantar ibu bapa dan mentua ke sana. Insya-Allah tahun depan saya mahu hantar mereka mengerjakan haji pula,” katanya.

Pengacara program Meletop itu berkata, fokus dan tujuannya cuma satu iaitu beribadah.

Justeru, Nabil mempersiapkan diri dengan menghadiri kelas agama.

“Sebenarnya sebelum pergi umrah lagi saya sudah menghadiri kelas agama. Sekembalinya dari sana, rasa rugi jika saya tak teruskan. Alhamdulillah, jalan itu dipermudahkan.

“Saya tak malu mengaku belajar mengaji al-Quran dan pada saya hidup ini perlukan pembelajaran sepanjang masa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2015 @ 7:00 PM