KEADAAN kereta yang terbabas. Mangsa (gambar kecil) meninggal dunia di tempat kejadian.
Oleh Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


Dungun: Tukang rumah maut selepas kereta dipandu rakannya terbabas dalam kejadian di Kilometer 6 Jalan Paka-Bandar Al-Muktaffi Billah Shah, dekat Kampung Santong Paka, 12 tengah hari tadi.

Suhilman Imran, 47, parah di kepala dan meninggal serta-merta di tempat kejadian.

Rakannya, Mohd Ramli Baharudin, 33, yang memandu kereta itu tercampak keluar dari kenderaan ketika kejadian dan parah serta patah paha kanan.

Ketika kejadian, kedua-dua sahabat terbabit dari Felda Kerteh 3 dipercayai dalam perjalanan ke Kuala Dungun.

Setibanya di tempat kejadian, kereta yang dinaiki dipercayai terbabas dan melanggar penghadang jalan sebelum terbalik.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, jenazah Suhilman kemudiannya dibawa ke Hospital Dungun untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2015 @ 4:23 PM