Seorang penunjuk perasaan menunjukkan gambar mayat ketika demonstrasi membantah penculikan pelajar perguruan di Mexico City.
AFP

Mexico City: Kumpulan 43 pelajar dari Sekolah Raul Isidro Burgos di Ayotzinapa itu gembira meninggalkan asrama mereka untuk memulakan perjalanan ke selatan Mexico.

Matlamat mereka hanya mahu mengumpul dana.

Sebahagian daripada mereka ialah pelajar jurusan undang-undang yang menamatkan pengajian untuk menjadi guru.

Sesetengah lagi sekadar peminat lagu rock yang gemar bergurau dengan rakan lain.

Namun, perjalanan itu bertukar tragedi apabila mereka tiba di Iguala pada 26 September lalu.

Polis tempatan melepaskan tembakan ke arah empat bas dinaiki sebelum mereka dikepung dan diserahkan kepada kumpulan pengedar dadah Guerreros Unidos.

Enam minggu kemudian, tiga anggota Guerreros Unidos mengaku membunuh kumpulan terbabit sebelum membakar mayat mangsa.

Sisa mayat yang rentung itu dihancurkan sebelum disumbat ke dalam guni untuk dibuang ke sungai.

Pihak berkuasa berkata, serangan itu diarah Datuk Bandar Iguala ketika itu.

Sementara itu, di Ayotzinapa, waris dan rakan mangsa masih belum dapat menerima kenyataan pelajar terbabit kini tinggal kenangan.

Kebanyakan mereka semalam berkata, kerajaan Mexico tidak boleh dipercayai sejak sekian lama.

Kata mereka, pengesahan DNA mesti diberi bagi memastikan pelajar terbabit benar-benar sudah mati.

Antara pelajar yang dibunuh itu ialah pemuda Tlapanec dari kawasan pedalaman Guerrero, Abel Garcia Hernandez.

Abangnya, Oscar, berkata Hernandez, 19, bercita-cita mahu menjadi guru bahasa Sepanyol dan Mixtec.

“Ibu kami belum tahu apa yang berlaku,” katanya.

Bagi ibu bapa Cesar Manuel Gonzalez, 21, mereka terlalu terkejut dengan apa yang berlaku.

Bapanya berkata, Gonzalez berhenti belajar undang-undang untuk menjadi guru selepas melakukan kerja amal di kawasan luar bandar.

“Sebelum hilang, dia mengubungi saya dua kali.

“Dia gembira dan hingga kini saya seolah-olah terdengar dia menyanyi keriangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 November 2014 @ 5:07 AM