KANAK-KANAK dan remaja perempuan daripada keluarga bermasalah menjadi sasaran bapa ayam.
KANAK-KANAK dan remaja perempuan daripada keluarga bermasalah menjadi sasaran bapa ayam.
TATU pada tangan remaja ini menunjukkan dia pernah dimiliki bapa ayam.
GERAK-geri seorang pelacur remaja yang mendekati kenderaan dan cuba menjual perkhidmatannya.
Susunan Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my


Ben yang baru berusia 13 tahun menghabiskan masa bersama rakannya di jalanan.

“Filem itu sungguh barua. Nike baru saya pun barua. Donat yang baru saya beli di trak makanan semuanya barua!”. Barua merujuk kepada orang perantaraan yang mencari pelanggan kepada pelacur.

Ben antara kanak-kanak yang terbabit dalam program antipemerdagangan remaja. Dia pintar dan sensitif tetapi seperti kebanyakan remaja, Ben tidak kebal kepada budaya hidup glamor bapa ayam yang sering ditonjol­kan.

Apa yang membuatkan dia tertarik?

Lirik lagu dinyanyikan dan filem ditontonnya mengagungkan budaya hidup mewah bapa ayam hanya buat sedikit kerja, selebihnya diuruskan orang bawahan, dikelilingi wanita cantik yang menjolok mata serta mampu menjana wang jutaan dolar.

Konsep Ben nyata tidak tepat. Pelacuran memang perniagaan menguntungkan. Sesetengah pihak menganggarkan, seorang kanak-kanak yang dijual pada malam hujung minggu boleh menjana sehingga RM4,310 (AS$1,000) sehari.

Kebanyakan bapa ayam ada lebih daripada seorang pelacur remaja yang boleh dilanggan pada bila-bila masa.

Tidak seperti dadah atau senjata api, kanak-kanak perempuan menjadi ‘komoditi’ pilihan kerana mereka boleh dijual berulang kali.

Bagi kebanyakan bapa ayam, mereka yang terbabit dengan aktiviti pelacuran mewakili bekalan yang tiada kesudahan dengan menjana pendapatan mudah.

Seorang bapa ayam dikenali sebagai Prince bertemu Jennifer yang berusia 17 tahun. Prince menggoda remaja itu dengan kata-kata janji untuk terus mencintai dan melindunginya.

Namun, dalam tempoh hanya beberapa minggu, Prince memukulnya dengan kejam, mentatu tubuh remaja itu sebagai ‘harta’ miliknya dan mengancam akan membakar rumah ibu bapa Jennifer jika dia tidak menjual tubuh.

Pengarah Dasar Antipemerdagangan dan Advokasi di Sanctuary for Families, Lauren Hersh bertemu Jennifer sewaktu bertugas sebagai penolong peguam daerah bandaraya New York yang mengendali kes pemerdagangan seks.

Meskipun wajahnya dipenuhi lebam dan ada tatu jenama ditubuh, Jennifer mendakwa dia melacur secara sukarela dan tidak uruskan mana-mana bapa ayam.

Bagaimanapun, beberapa bulan kemudian, Jennifer mula bercerita mengenai Prince memaksanya melacur dan bertindak ganas apabila dia tidak memenuhi kuota setiap malam. Remaja itu takut mendedahkan kekejaman Prince.

Pemerdagangan seks perniagaan bernilai berbilion-bilion dolar yang beroperasi mengikut prinsip bekalan dan permintaan.

Prince menjual Jennifer kerana satu sebab wujud pelanggan yang tidak terkira jumlahnya dan tidak sabar ‘membeli’ tubuh remaja itu.

Malah, bapa ayam itu menjana ribuan dolar setiap bulan hanya dengan menjual Jennifer secara dalam talian (online).

Walaupun Prince terlepas daripada didakwa dalam kes Jennifer, dia menghadapi tuduhan berkaitan mangsa lain.

Bapa ayam mencari mangsa dalam kalangan masyarakat paling lemah dan terpinggir. Kira-kira 85 peratus daripada remaja yang diperdagangkan ada kisah silam dengan pusat kebajikan kanak-kanak.

Lebih 65 peratus kanak-kanak dianiaya dan dipergunakan sebagai pelacur seksual. Kebanyakan wanita dan remaja perempuan terbabit hidup dalam kemiskinan.

Penyeludup manusia sengaja bertindak terhadap mangsa yang lemah dengan menggunakan taktik ‘mencuci otak’ dan seksaan agar dapat terus mengawal mereka.

Seperti Jennifer, mangsa sering diarah mengatakan mereka melacur secara sukarela apabila disoal penguat kuasa undang-undang, sekali gus menghalang pendedahan jenayah bapa ayam.

Bapa ayam pula ganas, merosakkan dan tidak berperikemanusiaan. Versi fiksyen mengenai budaya bapa ayam yang dibeli Ben sangat bertentangan dengan realiti kejam yang dialami ramai wanita dan gadis remaja.

Justeru, ‘Generation Free’ iaitu gerakan antipemerdagangan diwujudkan untuk remaja melengkapkan diri mereka dengan masa depan sehingga mengenali realiti dunia pemerdagangan orang, kehidupan mewah bapa ayam dan pelacuran.

Pada Mac lalu, lebih 150 remaja mengikuti persidangan antipemerdagangan manusia di Packer Collegiate Institute. Peserta membentangkan spektrum kes berkenaan.

Peserta tidak mengira umur sama ada pelajar sekolah swasta atau awam dan keluarga berpendapatan tinggi mahupun rendah. Malah, kehadiran remaja lelaki lebih ramai berbanding perempuan.

Persidangan bermula dengan persembahan bertajuk ‘Hari Dalam Kehidupan’, lakonan mengenai aktiviti pemerdagangan seks dan perbincangan dengan ahli panel pakar.

Kebanyakan golongan muda sedar mengenai budaya bapa ayam, tetapi ia pertama kali bagi mereka memahami lebih jelas jangkauan aktiviti pelacuran secara global dan kehidupan yang memeritkan.

Pada persidangan itu, beberapa pertanyaan sehinggalah soalan berisiko tinggi diajukan kepada remaja terbabit bagi mencetuskan kaitannya dengan kehidupan mereka. Ia ternyata membuahkan hasil.

Seorang gadis muda berdiri dan berkata: “Ayah saya penagih dadah. Dia sanggup jual apa saja untuk memperoleh bekalannya. Saya tak boleh bantunya tapi pernah terfikir dia mungkin akan menjual saya.”

Seorang budak lelaki bersuara: “Ia berlaku di jalanan tempat tinggal saya. Gadis yang dijual itu boleh jadi kakak saya.”

Remaja lelaki lain pula menjelaskan: “Sekarang kita sedar bahawa membeli seks akan meningkatkan pemerdagangannya. Kita perlu memastikan rakan lain tahu mengenai kesan pelacuran.”

Perubahan sewaktu persidangan itu cukup mendalam. Undang-undang lebih ketat perlu dilaksanakan bagi menahan penindas dan memberi perlindungan kepada mangsa.

Namun, jika mahu menghapuskan eksploitasi jika masyarakat benar-benar ingin menamatkan penyeludupan mereka perlu mengubah budaya. Dan, perubahan budaya itu bermula dengan kanak-kanak.

Beberapa hari selepas persidangan itu, Ben berlari ke arah rakannya dan berkata: “Saya tak akan menggunakan lagi perkataan barua. Adakah anda tahu betapa rosaknya perkataan itu?” - Lauren Hersh, CNN.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2015 @ 11:16 AM