PERLU sentiasa ada penambahbaikan dalam pelaksanaan sistem pendidikan sedia ada bagi memastikan ia sentiasa relevan dengan permintaan serta cabaran semasa. - Gambar hiasan.
MESKIPUN zaman sudah berubah, namun sistem pendidikan yang diguna pakai perlu menekankan kepentingan mengekalkan perpaduan antara satu sama lain. - Gambar hiasan.
PENYEDIAAN pelajar bagi mengisi keperluan kemahiran bidang teras seperti sains dan teknologi antara perubahan ketara dunia pendidikan kini. - Gambar hiasan.
Oleh Ruhaiza Rusmin dan Ihsan Norzaali
rencana@hmetro.com.my

Ada pihak melahirkan kegusaran apabila melihat sistem pendidikan masa sekarang hingga menganggapnya sebagai sistem penukaran yang begitu drastik.

Membandingkannya dengan sistem dulu yang dianggap lebih sistematik, sistem pendidikan kini pula dicop sebagai sistem yang melalui fasa perubahan tidak konsisten.

Biarpun tujuan penambahbaikan sistem pendidikan baru adalah untuk memperkasakan dunia pendidikan ke tahap lebih baik, ramai masih terkesan dengan sistem pendidikan dulu dan menyifatkannya lebih berjaya.

Justeru, apakah corak pengenalan serta pembaharuan anjakan sistem pendidikan kini gagal meraih kepercayaan masyarakat hingga memberi persepsi sebaliknya?

Dekan Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak, Profesor Dr Amir Hasan Dawi berkata, sistem pendidikan adalah konsep yang perlu dilihat daripada perspektif luas sebelum membuat perbandingan perbezaan antara kedua-dua zaman sistem itu dilaksanakan.

Bagaimanapun, katanya terdapat tiga konsep yang boleh diberi fokus iaitu matlamat pendidikan, masa serta peringkat pendidikan sekolah atau tertiari.

"Sebelum membuat andaian mengenai perbezaan sistem diguna pakai, ada aspek tertentu perlu difokus terlebih dulu bagi memastikan tidak wujud salah faham.

"Secara dasarnya, kita perlu melihat matlamat, masa serta peringkat sasaran sistem itu supaya memperoleh pemahaman jelas mengenai sistem berkenaan.

"Biarpun diakui wujud perbezaan sistem pendidikan itu kerana perubahan zaman, asasnya ia masih berpegang pada tujuan utama iaitu memberi pendidikan dan melahirkan golongan pelajar seimbang ilmu dan akhlak," katanya.

Beliau berkata, matlamat pendidikan perlu dilihat secara luas dengan menekankan tiga tujuan asas pendidikan iaitu untuk ilmu pengetahuan, kemahiran dan pemerolehan nilai.

"Berdasarkan tiga perkara asas ini, kita boleh membuat perbandingan sistem pendidikan antara zaman biarpun pada masa sama, ia sentiasa mengalami perubahan dan penambahbaikan.

"Sebagai contoh, perkara utama yang menjadi asas dalam pendidikan pada waktu dulu ialah sistem pendidikan berasaskan etnik yang tujuan utamanya pada waktu itu adalah mewujudkan perpaduan melalui sistem persekolahan.

"Sejak itu, sistem pendidikan berubah secara beransur-ansur. Ada sistem yang digunakan sudah tiada, ada yang diteruskan dan ada juga diberi penambahbaikan dengan nilai tertentu," katanya memberi contoh akhir 70-an dan 80-an, sistem pendidikan diperluaskan dengan memberi perhatian kepada keperluan melahirkan tenaga kerja.

"Ini bermaksud sistem pendidikan melihat ilmu pengetahuan sebagai penting untuk menjadi maju maka lebih banyak sekolah yang berteraskan kecemerlangan dibina.

"Era 90-an hingga kini, sistem pendidikan semakin terdesak untuk memenuhi keperluan negara maju dan antara perubahan ialah memberi penekanan kepada bidang teknik dan vokasional atau kemahiran," katanya.

Mengenai cabaran sistem pendidikan negara yang perlu melalui perubahan zaman, beliau berkata, cabaran pendidikan dulu ialah untuk melahirkan masyarakat bersatu padu.

Kini, katanya, tujuan pendidikan untuk perpaduan masih dinyatakan, namun penekanan kepada ilmu pengetahuan dan kemahiran menyebabkan sistem pendidikan seolah-olah terlupa kepada pemupukan nilai penting kepada negara.

"Keseimbangan nilai seperti perpaduan dan aspek kerohanian melalui mata pelajaran berkaitan misalnya semakin luntur.

"Umpamanya, dalam kurikulum terkini, mata pelajaran kewarganegaraan dikeluarkan dan digabung-kan dalam mata pelajaran sejarah.

"Sebaliknya, sistem pendidikan semakin menjurus kepada sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik, justeru memberi cabaran baru kepada kita bagaimana mewujudkan keseimbangan insan dan perpaduan masyarakat," katanya.

Bagaimanapun, dengan sistem pendidikan kini, menurutnya, ia mampu menyediakan pelajar berpengetahuan dan mempunyai kemahiran dalam bidang teras.

"Saya melihat sistem pendidikan kini lebih menumpukan kepada menyediakan keperluan global dan ini menunjukkan kita berada pada landasan tepat.

"Namun, pemantauan perlu dibuat bagi mengelak lahirnya generasi yang tidak mempedulikan aspek kenegaraan.

"Sistem pendidikan perlu mengambil perhatian serius aspek ini supaya ada keseimbangan dalam pelbagai aspek," katanya.

Ditanya berapa lama sesuatu sistem boleh menjadi mantap, katanya ia bergantung kepada perancangan yang jelas dan komitmen yang diberikan pemerintah.

"Saya berpendapat sistem pendidikan kebangsaan mantap jika dilakukan secara berterusan.

"Perubahan sewajarnya bersifat pembetulan kepada kekurangan, bukan mengubah sepenuhnya. Misalnya, sekolah aliran kebangsaan berjaya melahirkan tenaga kerja dan perpaduan.

"Perkara yang perlu ialah memperkasakan sekolah kebangsaan supaya relevan dalam konteks matlamat masa depan negara," katanya yang turut mengatakan bahawa aspek tertentu sistem pendidikan kita berbeza dan tidak dipakai dalam mana-mana negara maju.

"Antara aspek yang dimaksudkan ialah dari segi aliran vernakular yang tidak terdapat di negara lain.

"Sistem pendidikan di sekolah harian biasa masih lagi menjurus kepada dua aliran perdana iaitu sains dan sastera.

"Penambahbaikan, pembaharuan serta pelbagai anjakan perlu dilakukan dengan lebih giat lagi bagi menjadikan sistem pendidikan kita bervariasi dan diwarnai oleh situasi kepelbagaian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 November 2014 @ 5:05 AM