PEMANDANGAN pencakar langit sekitar Kuala Lumpur masih kabur pada 3 petang ekoran jerebu. FOTO Bernama
Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


Putrajaya: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memohon supaya Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) seluruh negara mengadakan solat hajat untuk mendoakan supaya masalah jerebu dapat diatasi.

Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustapha berkata, JAKIM akan mengadakan solat hajat di Masjid Negara, Masjid Putra, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan semua masjid serta surau Jumaat dibawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) selepas solat Jumaat esok.

"Di samping itu, JAKIM memohon kerjasama dan jasa baik MAIN dan JAIN di seluruh negara untuk meminta semua masjid di negeri masing-masing supaya turut mengadakan solat hajat.

"Kita sama-sama memanjatkan doa ke hadrat Ilahi supaya masalah jerebu ini akan selesai dalam tempoh terdekat dan masyarakat boleh menjalankan aktiviti harian dengan lebih lancar dan sempurna,"katanya dalam kenyataan di sini.

Othman berkata, JAKIM juga memohon supaya rakyat sentiasa menjaga kesihatan diri dan keluarga serta mematuhi nasihat dan arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2015 @ 6:31 PM