New Delhi: Seorang gadis berusia 13 tahun dirogol lelaki yang berusia lebih sekali ganda daripadanya dan aksi itu dirakam penyerang menggunakan telefon bimbit.

Walaupun keterlaluan, tindakan lelaki itu yang membolehkan jenayah berkenaan dikesan sebelum suspek ditahan.

Puncanya, lelaki terbabit mengedarkan rakaman visual selama 29 minit itu kepada rakannya sebelum ia sampai ke pengetahuan seorang siswa Universiti Delhi.

Secara kebetulan siswa terbabit mengenali mangsa dan memaklumkan kejadian itu kepada ibunya.

Suspek ditahan kelmarin, namun klip video itu masih terus tersebar.

Lelaki itu dikenali sebagai Rohit Kumar yang bekerja di sebuah kedai pakaian di Bazar Sadar.

Jurucakap polis berkata, serangan seksual itu berlaku di kawasan Diwali.

“Suspek meyakinkan mangsa supaya datang ke rumahnya supaya dia boleh membantu pembelajaran gadis terbabit.

“Namun, tidak lama kemudian dia merogol mangsa,” katanya.

Ketika disoal siasat, jurucakap polis berkata, Kumar mengaku menyerang mangsa dua kali sebelum itu.

Pada kali ketiga, dia merakamkan kejadian itu menggunakan telefon genggamnya dan klip itu dijadikan bahan untuk mengugut mangsa supaya apa yang berlaku di rumah itu dirahsiakan.

Ketika mangsa benar-benar merahsiakan kejadian berkenaan, Kumar pula berkongsi klip itu dengan rakannya.

Kata jurucakap polis, tidak dapat dipastikan berapa ramai orang sudah menyaksikan rakaman berkenaan sebelum ia tiba kepada seorang siswa universiti yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana.

“Apabila ibu mangsa diberitahu, dia mendesak anaknya menceritakan keadaan sebenar.

“Selepas mengaku, keluarga terbabit memaklumkan kejadian berkenaan kepada polis,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 November 2014 @ 5:04 AM