Oleh Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selepas gagal merampas kembali status pemain nombor satu dunia pada Terbuka China minggu lalu, Datuk Nicol David (gambar) mengesahkan penarikan diri daripada Terbuka Macau, bermula hari ini.

Situasi itu menyebabkan hanya dua wakil negara, Nafiizwan Adnan dan Delia Arnold akan mengibarkan cabaran bagi kategori lelaki dan wanita.

Nafiizwan, yang tampil sebagai pilihan kelapan akan menentang Leo Au dari Hong Kong pada pusingan pertama manakala Delia yang sepatutnya dijadualkan bertemu Nicol akan turun beraksi menentang pilihan kedua dari Mesir, Nour El Tayeb.

Nicol memutuskan untuk menarik diri pada saat akhir apabila dihantui kecederaan betis dan penarikan dirinya itu memastikan pemain Mesir, Raneem El Welily mengekalkan kedudukan selaku pemain nombor satu dunia dua bulan berturut-turut manakala Laura Massaro menjadi pilihan pertama kejohanan.

Sementara itu, Nafiizwan yang masih lagi dibelenggu kesedihan kerana kehilangan dua ahli keluarga iaitu ayah dan abangnya tahun ini berkata, dia akan menerima tentangan sengit daripada Leo Au.

“Au kini dalam keadaan terbaik selepas mara ke separuh akhir Terbuka China minggu lalu tapi tidak bermakna saya tidak boleh menewaskan dia. Jika saya fokus kepada permainan, saya mungkin mempunyai peluang cerah untuk mara ke pusingan seterusnya,” katanya.

Seandainya Nafiizwan berjaya mengatasi Au, dia dijangka bertemu pilihan keenam dari Mesir, Omar Mosaad pada suku akhir.

Omar dijangka menang mudah pada pusingan pertama apabila diundi menentang pemain dari pusingan kelayakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2015 @ 5:04 AM