Jakarta: Menteri Pertahanan Indonesia, Ryamizard Ryacudu berkata, Tentera Negara Indonesia (TNI) akan menghantar 2,000 anggota tambahan di perairan Natuna di kepulauan Riau.

“Kita tidak hanya menambah aset persenjataan, tetapi jumlah anggota TNI di Natuna juga akan ditambah,” katanya ketika melawat Pulau Natuna semalam.

Katanya, anggota tambahan itu terdiri daripada pasukan elit TNI seperti pasukan khas Angkatan Udara, pasukan Marinir Angkatan Laut dan Raider Angkatan Darat.

“Kita akan menempatkan satu pasukan khas dan masing-masing dua pasukan Marinir serta Raider.

“Pasukan Raider yang ditugaskan di Natuna adalah unit Raider Plus yang dilatih menggunakan pengangkutan air dan bertempur di laut,” katanya.

Menurutnya, selain Pulau Natuna, wilayah yang terletak di sempadan iaitu Marauke, Maluku, Tarakan serta wilayah antara Sulawesi dan Kalimantan juga akan diperkuat dengan penambahan aset senjata dan anggota tambahan.

Tambahnya, kerajaan juga akan melatih 85 ribu penduduk di Natuna dengan ilmu peperangan supaya dapat mempertahankan negara.

“Ini adalah wilayah sempadan dan rakyat Natuna harus terlebih dahulu dilatih dengan pengetahuan mempertahankan diri.

“Kami mahu rakyat di wilayah ini menjadi rakyat terlatih, rakyat militan yang tahu mengenai peperangan,” jelasnya.

Sebelum ini, pegawai TNI di Natuna, Lodewyk Pusung memberitahu, pulau paling utara Indonesia itu memerlukan tambahan peralatan tentera dan anggota. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2015 @ 5:01 AM