Oleh Mohamad Fahd Rahmat
fahd@hmetro.com.my


Johor Bahru: Dua nelayan tempatan berusia 37 dan 53 tahun dikhuatiri hilang selepas keluar menjaring ikan di sekitar perairan Kampung Penerok menuju ke Sungai Rambah Pontian, kira-kira 4.30 petang semalam.

Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim Johor Bahru (DM6), Kapten Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, mangsa sepatutnya tiba di jeti kira-kira 2 pagi hari ini namun gagal berbuat demikian sekaligus menyebabkan pemilik bot yang khuatir dengan keselamatan mangsa membuat laporan di Balai Polis Permas Pontian.

Beliau berkata, pihaknya mengaktifkan usaha mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira 10.45 pagi tadi termasuk mengatur gerak bot laju dan kapal ronda untuk pencarian.

"Mangsa dikenali sebagai Shaiful Nizam Md Said, 37, dan Osman Mohd Yusof, 53. Operasi SAR diperluaskan dari Pulau Pisang sehingga Pulau Kukup, Pontian.

"Turut serta dalam SAR ini adalah anggota dan aset Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) selain komuniti nelayan setempat," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2015 @ 3:53 PM