Keadaan kenderaan yang dihanyutkan banjir di Hilldale, Utah. Pasukan penyelamat sudah menemui mayat tujuh kanak-kanak selepas dua kenderaan dinaiki mereka dihanyutkan banjir. - Foto AP

Hildale (Utah): Pasukan penyelamat yang menggeledah lumpur di sebuah bandar kecil dekat sempadan Utah-Arizona menemui mayat tujuh kanak-kanak mangsa selepas dua kenderaan dinaiki mereka dihanyutkan banjir kelmarin.

Banjir kilat akibat hujan lebat itu menyebabkan 12 orang terbunuh di kawasan itu dan empat lagi di Taman Negara Zion berdekatan.

Van dan SUV berkenaan dinaiki tiga wanita dan 13 kanak-kanak berusia antara empat tahun hingga remaja iaitu ahli kumpulan pengamal poligami Warren Jeffs, ketika dihanyutkan air limpahan banjir. Tiga terselamat dalam kejadian itu dan seorang lagi masih hilang.

Di Taman Negara Zion, penyelamat menemui empat mayat pendaki berusia antara 40-an hingga 50-an.

Ribut selama 30 minit yang melanda sebelum banjir membawa hujan 3.8 sentimeter ke kawasan yang muka buminya seperti gurun serta mempunyai banyak jurang menyebabkan aliran air menjadi laju. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2015 @ 1:11 PM