1. SEDIAKAN bahan.
2. BAHAN membuat sos hollandaise dan taragon.
3. BAHAN membuat sos hollandaise dan taragon.
4. PERAP kepingan ikan salmon dengan garam dan lada sulah.
5. MASAK ikan salmon di atas kuali hingga bertukar warna keperangan dan ketepikan. Jangan masak terlalu lama.
6. CELUR semua sayuran yang dipotong kecil dan telur puyuh ke dalam air mendidih yang ditambah mentega.
7. PUKUL telur yang dicampur bersama jus lemon dan air panas.
8. DIDIHKAN semua bahan sos taragon.
9. CEF Mohamad Shahril menunjukkan stik salmon yang siap dimasak.
10. STIK salmon enak dinikmati bersama sayuran dan sos bernaise.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my


Bagi penggemar stik enak dengan gaya santapan ala Inggeris, pastinya sesekali mahu mencuba sendiri menyediakan hidangan berkenaan di rumah untuk dinikmati bersama seisi keluarga.

Untuk mencuba resipi stik salmon yang dikongsi Chef Sous Hotel Maya Kuala Lumpur, Mohamad Shahril Bidik ini, ia bertambah enak jika stik salmon dinikmati bersama sayuran seperti asparagus, brokoli serta lobak merah dan disiram dengan sos bernaise.

Tidak dinafikan salmon antara pilihan ikan yang menyihatkan kerana ia kaya dengan pelbagai khasiat. Ia dikenali sebagai sumber protein yang tinggi mengandungi asid lemak omega-3, rendah kalori dan lemak tepu.

Omega-3 bukan saja membantu menghalang penyakit jantung, malah ia dapat merendahkan tekanan darah dan kolesterol tidak baik. Ikan ini juga membantu mengurangkan kekejangan sewaktu kedatangan haid dan mencegah kemurungan di samping sumber ikan yang baik untuk niasin, vitamin B12, magnesium serta vitamin B6.

Selain itu, penggunaan bunga hiasan yang boleh dimakan seperti bergamot, bunga chamomile dan rosemary dalam salad juga menambah enak pada stik salmon ini.

INFO

Bahan A:

- Dua keping Norwegian stik salmon

- Garam dan lada sulah secukup rasa

Bahan hiasan:

- 60 gram nasi perang bermentega

- Asparagus

- Brokoli

- Lobak merah

- Telur puyuh

- Bunga hiasan yang boleh dimakan

Bahan sos hollandaise:

- 270 mililiter mentega tanpa garam

- 2 biji kuning telur

- Satu sudu besar jus lemon

- Garam secukup rasa

Bahan sos taragon:

- 2 sudu besar taragon kering

- 4 biji bawang merah (dicincang)

- 4 biji lada hijau (dicincang)

- 85 mililiter cuka

- 113 milililiter air

Cara penyediaan sos hollandaise:

1. Cairkan mentega dengan api perlahan. Matikan api dan sejukkan mentega yang dicairkan.

2. Pukul telur yang sudah dicampur bersama jus lemon dan air panas dalam bekas acuan diperbuat daripada logam.

3. Didihkan air di dalam periuk dan letakkan mangkuk yang berisi telur tadi di atasnya (tanpa menyentuh air).

4. Tuang secara perlahan-lahan telur tadi ke dalam mentega yang dicairkan. Ketika menuang, jangan berhenti memukul adunan sehingga sebati.

5. Tambah garam dan lada sulah secukup rasa.

Cara penyediaan sos bernaise:

1. Didihkan semua bahan sos taragon menggunakan api perlahan hingga hampir kering.

2. Ambil sos hollandaise sebanyak 200 mililiter dan campur dengan satu sudu besar sos taragon untuk menghasilkan sos bernaise.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2015 @ 8:06 AM