PELAJAR menaiki bot untuk ke sekolah ketika jerebu tebal melitupi Sungai Ogan di Palembang, Sumatera Selatan, semalam.
AFP

Jakarta: Kerajaan Indonesia semalam menghantar 1,600 askar tambahan untuk membantu memadamkan kebakaran hutan dan belukar yang menyebabkan jerebu tebal melanda negara jiran.

Jerebu tebal menyebabkan sekolah di Malaysia terpaksa ditutup dan menjejaskan persiapan Singapura yang menganjurkan perlumbaan Formula Satu hujung minggu ini.

Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) mengarahkan penambahan askar itu selepas keadaan darurat akibat jerebu tebal diisytiharkan di Riau kelmarin.

Anggota tambahan itu bakal menyertai lebih 1,000 lagi askar yang sudah dikerahkan memadam kebakaran di wilayah Riau dan Sumatera Selatan.

Jerebu tebal akibat pembakaran hutan di Sumatera dan kepulauan Borneo ketika musim kemarau menjadi isu tahunan di rantau Asia Tenggara.

Kebakaran biasanya dicetuskan petani tempatan dan syarikat perladangan yang membersihkan hutan untuk tanaman semula.

Persiapan Singapura menganjurkan perlumbaan Formula Satu waktu malam pada hujung minggu ini terjejas apabila kualiti udara di bandar raya itu jatuh ke tahap tidak sihat.

Hujan lebat yang turun semalam di Singapura memberi sedikit kelegaan, tetapi bau hangit kayu terbakar dan jerebu masih kekal.

Selepas mengisytiharkan penghantaran askar tambahan itu, Jokowi juga mengarahkan pihak berkuasa mengenakan tindakan tegas terhadap pihak yang menyebabkan kebakaran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2015 @ 5:08 AM