Tokyo: Pihak berkuasa Jepun semalam berkata, semua mereka yang dilapor hilang selepas banjir besar melanda sebahagian utara Tokyo hingga menyebabkan tujuh orang terbunuh dan memusnahkan ribuan kediaman, sudah ditemui.

Empat belas daripada 15 orang yang didaftar hilang itu disahkan ditemui selepas pasukan penyelamat memeriksa dari rumah ke rumah.

Orang terakhir yang dilapor hilang ditemui selamat di sebuah rumah tumpangan.

Sebahagian bandar Joso yang mempunyai populasi 65,000 orang hanyut selepas air Sungai Kinugawa melimpahi tebing, menyebabkan kawasan seluas 40 kilometer persegi tenggelam.

Ribuan penyelamat terdiri daripada tentera, polis dan bomba dikerah mencari mangsa yang hilang dan membantu mereka yang terperangkap. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2015 @ 5:02 AM