Ankara: Dua puluh dua pendatang mati lemas dan 211 berjaya diselamatkan apabila bot yang mereka naiki karam di Laut Aegean di luar pantai Turki ketika dalam pelayaran menuju ke Pulau Kos, Greece, semalam.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pengawal pantai Turki, bot itu karam 2.5 kilometer dari pantai peranginan Bodrum, tempat mayat kanak-kanak Syria Aylan Kurdi ditemui terdampar.

Rakaman yang disiarkan televisyen Turki menunjukkan kapal pengawal pantai Turki membawa mangsa yang terselamat ke pantai.

Agensi berita Dogan melaporkan, kumpulan itu menaiki bot kayu sepanjang 20 meter untuk ke Kos.

Turki memberi perlindungan kepada lebih dua juta pelarian, kebanyakannya dari Syria yang melarikan diri dari peperangan di negara itu dan puluhan ribu memilih untuk berlepas ke Greece sebelum ke negara di utara Eropah, khususnya Jerman.

Ahad lalu, 34 orang termasuk 15 bayi dan kanak-kanak mati apabila bot mereka karam di luar pantai Farmakonisi, juga di Greece. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2015 @ 5:01 AM